Ayer Hitam bukan kubu kuat tapi 'istana pasir' BN


Ikhwan Zulkaflee

Barisan Nasional tidak lagi boleh menganggap Ayer Hitam sebagai kerusi selamat selepas Pakatan Harapan memuktamadkan rundingan kerusi yang akan ditandingi oleh empat parti itu dalam pilihan raya umum akan datang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Januari, 2018.

AYER Hitam kini tidak lagi menjanjikan kemenangan automatik bagi MCA dan Barisan Nasional (BN), kata Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong.

Liew juga menganggap, kawasan yang diwakili Timbalan Presiden MCA Wee Ka Siong itu kini bukan lagi satu kubu kuat BN tetapi “istana pasir yang boleh runtuh pada bila-bila masa”. 

Katanya, BN tidak lagi boleh menganggap Ayer Hitam sebagai kerusi selamat selepas Pakatan Harapan memuktamadkan rundingan kerusi yang akan ditandingi oleh empat parti itu dalam pilihan raya umum akan datang.

“Sejak 7 Januari lalu, Ayer Hitam telah bertukar daripada kawasan putih kepada kawasan kelabu untuk BN,” kata Liew yang yakin dengan strategi Pakatan Harapan untuk kerusi tersebut.

Dalam konvensyen pada 7 Januari itu, konvensyen itu menetapkan pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri, yang disebut-sebut sebagai tonggak utama untuk meraih sokongan pengundi Melayu luar bandar.

Kerusi Ayer Hitam juga merupakan antara kawasan yang memakan masa rundingan paling lama dalam PH.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata kerusi Ayer Hitam bukan lagi kubu kuat bagi Barisan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Januari, 2018.

Namun akhirnya PH mencapat sepakat agar Ayer Hitam yang merupakan kerusi kuota DAP diberikan kepada rakannya, Amanah dengan syarat calon tersebut bertanding di bawah bendera DAP.

Liew berkata beliau yakin percaturan taktikal itu akan mengubah Ayer Hitam menjadi lebih kompetitif.

“Ayer Hitam merupakan kerusi dengan 56% pengundi Melayu, 38% pengundi Cina dan 4% pengundi India. 

“Kerusi ini tidak pernah menjadi kerusi mudah untuk pembangkang, terutamanya di Johor di mana Barisan Nasional secara perbandingan lebih kuat berbanding di negeri lain.

“Saya merupakan yang pertama yang mengaku Ayer Hitam merupakan kerusi yang sukar untuk Pakatan Harapan,” kata Liew.

Jelasnya, untuk mengambil alih Putrajaya, PH perlu menang di setiap kerusi separa bandar di pantai barat Semenanjung yang mempunyai campuran pengundi dengan majoriti Melayu.

Mengulas lanjut, Liew juga menolak tanggapan oleh pemimpin akar umbi bahawa Ayer Hitam akan kekal dikuasai BN walau siapa juga calon yang diletakkan.

“Sesetengah pihak dalam Barisan Nasional masih percaya ia merupakan kubu kuat yang boleh dimenangi dengan ‘botol kicap’.

“Sesetengah yang lain mula sedar Timbalan Presiden MCA Wee Ka Siong sebenarnya sedang duduk dalam sebuah istana pasir yang boleh runtuh bila-bila masa,”  kata Liew.

usteru beliau berkata PH di Johor kini sedang bekerja keras bagi memastikan kemenangan calon mereka di kawasan itu termasuk gerak kerja yang disertai pemimpin tertinggi peringkat nasional dan negeri.

Antaranya, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohammad Sabu yang muncul dalam program bertemu rakyat khususnya di kawasan Yong Peng sejak Ahad lalu.

Pada PRU13 penyandangnya Wee Ka Siong menewaskan calon Dewan Himpunan Penyokong PAS Hu Pang Chow ketika parti Islam itu masih bersama gabungan pembangkang, dengan majoriti 7,310 undi.– 17 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen