Hishammuddin ambil alih umum pematuhan SOP mulai esok, kata TPM


TPM Ismail Sabri Yaakob mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat sepanjang beliau mengendalikan pematuhan SOP PKP sejak 20 Mac tahun lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2021.

PENGUMUMAN mengenai perkembangan harian aktiviti penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diambil alih Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Hishammuddin Hussein mulai esok.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam pengumuman kenyataan media hariannya sepanjang beliau mengendalikan pengumuman itu sejak 20 Mac tahun lepas.

“Sekalung penghargaan kepada semua yang terbabit sepanjang penglibatan saya, bermula daripada anggota pentadbiran, kementerian-kementerian terlibat, agensi, frontliners serta rakyat Malaysia yang mahukan negara bebas dari Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ismail Sabri turut merakamkan ucapan terima kasih kepada sahabat-sahabat media yang sentiasa melaporkan perkembangan penguatkuasaan SOP berkaitan Covid-19 dari semasa ke semasa.

Beliau berkata sepanjang melaksanakan tanggungjawab itu setiap hari, beliau menerima serta mengumumkan laporan berkenaan pematuhan SOP, kawalan sempadan negara dan lain-lain perkara daripada semua agensi terlibat bagi memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia berkenaan situasi semasa keselamatan dalam tempoh PKP dan Pelan Pemulihan Negara (PPN). 

Pada 7 Julai lepas, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya mengumumkan pelantikan Hishammuddin sebagai menteri kanan yang mengetuai Kluster Keselamatan dan mengekalkan portfolio beliau sebagai menteri luar.

Kenyataan yang sama turut mengumumkan pelantikan Ismail Sabri sebagai timbalan perdana menteri dan kekal memegang portfolio menteri pertahanan. – Bernama, 26 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen