Vaksinasi sahaja dapat kurangkan kes Covid-19, kata Dr Mahathir


17,000 orang yang dijangkiti semalam akan menularkan lagi virus kepada ahli keluarga atau kontak rapat jika dikuarantin di rumah, kerana kemungkinan untuk tidak patuh SOP ketika dalam rumah sangat tinggi, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2021.

VAKSINASI satu-satunya cara untuk mengawal lonjakan kes Covid-19, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, sehari selepas negara merekodkan kes paling tinggi dengan 17,000 kes.

“Kita bagi vaksin 500,000 sehari. Tetapi tidak cukup. Vaksinasi percuma perlu diberikan kepada semua orang secepat mungkin,” kata ahli Parlimen Langkawi itu.

Beliau berkata, perlu ada unit bergerak dapatkan orang ramai ambil vaksin, selain buka pusat pemberian vaksin mega.

“Kerajaan kena beli, pinjam atau curi untuk percepatkan program ini,” katanya dalam satu catatan diblognya.

“Jika tidak, kes baharu akan melonjak dengan cepat, kematian juga akan meningkat jadi beratus-ratus dan kes bunuh diri akan bertambah. Semua ini mencipta masalah baharu yang perlu ditangani.

“Politik tidak dapat selesaikan masalah ini. Ia cuma dapat burukkan lagi keadaan,” katanya.

Dr Mahathir berkata Malaysia sudah terlepas peluang kurangkan kes baharu ketika kes harian masih sedikit, menambah kini sudah mustahil berbuat demikian memandangkan kes naik berlipat kali ganda kerana ramai kuarantin di rumah.

Beliau berkata mungkin prosedur operasi standard (SOP) tidak dipatuhi ketika kuarantin kendiri di rumah.

“Sekarang ini sekatan pergerakan dan SOP tidak berfungsi. Orang ramai sudah terlampau letih atau tidak berdisiplin untuk patuh SOP yang paling penting, iaitu menjarakkan diri. Kerap kali terjadi ketika mereka berhubung dengan seseorang. Jika mereka tidak pakai pelitup muka atau cuci tangan, jangkitan akan berlaku,” katanya.

Tambah Dr Mahathir lagi, lonjakan kes disebabkan orang ramai bergerak dan bersentuhan dengan orang lain sedangkan mereka sudah dijangkiti tetapi belum disaring.

“Ramai orang bergerak sana sini, mustahil untuk kesan orang yang ada kontak dengan 17,000 kes baharu itu.

“Sekarang mereka didapati positif, penting untuk asingkan mereka dari orang yang belum dijangkiti. Semua 17,000 orang ini perlu diasingkan atau dikuarantin dengan baik,” katanya.

“Tahap jangkitan antara 17,000 orang ini tidak sama. Jelas, mereka semua tidak boleh dimasukkan ke hospital. Hanya yang serius akan dimasukkan ke hospital dan dirawat. Yang kurang serius akan berjumlah ribuan orang. Mereka tidak dapat dikuarantin dengan betul. Ramai antara mereka kena duduk di rumah.”

Tambah Dr Mahathir, sebahagian orang perlu dikuarantin di rumah tetapi mereka tidak mahu diasingkan, oleh itu ahli keluarga mereka turut dijangkiti.

“Mereka dan kontak rapat mereka akan tunjuk gejala dan bila diuji mereka akan positif. Untuk setiap yang kuarantin di rumah, dua tiga orang lagi akan dijangkiti,” katanya.

Dr Mahathir berkata daripada 17,000 orang yang dijangkiti, mungkin hanya 1,000 dapat dirawat di hospital sementara selebihnya akan menjangkiti lebih ramai lagi, menambah jumlah itu hanya akan bertambah apabila orang yang dikuarantin meningkat.

Selepas memecahkan rekod dengan 17,045 kes semalam, jumlah jangkitan hari ini turun kepada 14,516 kes.

Ini menjadikan jumlah beban ditanggung negara sekarang mencapai 1.027 juta, di mana 165,840 adalah kes aktif.

Bagaimanapun terdapat jumlah kematian naik kepada 207 dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan angka maut akibat Covid-19 sebanyak 8,201. – 26 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen