4 hotel khusus untuk pesakit Covid-19 B40 di KL, kata Annuar 


Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata, pelbagai agensi yang berkaitan bersetuju untuk memindah dan menempatkan sebilangan mereka yang positif ke beberapa hotel tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2021.

EMPAT hotel di Kuala Lumpur telah dijadikan tempat untuk meletakkan pesakit Covid-19 dari golongan B40 secara pecuma, kata Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa hari ini.

Langkah ini dikhususkan kepada pesakit bergejala ringan yang sepatutnya menjalani kuarantin di rumah sendiri.

“Namun didapati ramai dalam kalangan mereka yang terlibat mendiami rumah yang sempit dan sesak terutama keluarga B40 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) DBKL yang tidak sesuai untuk menjalani kuarantin kendiri.

“Mereka juga tidak mampu untuk ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Swasta (PKRCS) berbayar.

“Tindakan ini dapat membantu golongan yang tidak berkemampuan untuk mengelakkan peningkatan kes positif yang berpunca daripada kontak rapat dalam kalangan ahli keluarga,” kata Annuar dalam satu kenyataan hari ini.

Hanya mereka yang tergolong dalam Kategori 1 (tiada gejala) dan Kategori 2 (gejala ringan) sahaja ditawarkan.

Annuar yang merangkap Pengerusi Pusat Penyelasaran dan Pengurusan Covid-19 Wilayah Persekutuan (CCMC-WP) berkata, pelbagai agensi yang berkaitan bersetuju untuk memindah dan menempatkan sebilangan mereka yang positif ke beberapa hotel tersebut.

Empat hotel itu ialah Hotel Royal Chulan di Jalan Conlay, International Youth Center di Cheras, Tamu Hotel di Kampong Bharu, dan Hotel Travelodge City Centre.

“Operasi memindahkan kira-kira seribu orang golongan terbabit bermula pada hari ini dengan kerjasama Covid Assessment Centre (CAC), Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL) dan beberapa agensi/jabatan kerajaan yang berkaitan,” kata ahli Parlimen Ketereh itu.

Tambah Annuar, kementeriannya berusaha menyediakan lebih banyak kemudahan rawatan Covid-19 di Wilayah Persekutuan bagi membantu mereka yang ada masalah kuarantin kendiri. – 26 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen