DR Mahathir Mohamad hari ini berkata tidak berminat untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) jika majoriti anggotanya adalah ahli politik.
Ahli Parlimen Langkawi berkata badan itu harus diisi oleh profesional yang tiada kaitan dengan mana-mana parti politik.
Dr Mahathir menjawab soalan berhubung tawaran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin agar kerajaan terbuka untuk mempunyai anggota pembangkang dalam MPN.
“Ia jelas badan politik. Anggota kerajaan di dalamnya dan pemimpin pembangkang dijemput tetapi ahli politik tidak berurusan dengan Covid-19.
“Badan ini perlu tiada unsur politik. Mereka yang mempunyai pengetahuan tentang bagaimana memerangi wabak atau pakar kesihatan harus berada dalam majlis. Jika ahli politik dalam majlis itu, mereka hanya akan bermain politik.
“Oleh itu, saya tidak berminat untuk menyertai majlis itu,” kata Dr Mahathir.
Antara yang dijemput untuk menyertai MPN adalah bekas menteri kewangan Nor Mohamed Yakcop, bekas pengarah urusan Khazanah Azman Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tony Fernandez.
Turut serta ialah ahli Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia Prof Dr Adeeba Kamarulzaman, Penasihat Kumpulan Media Star Wong Chun Wai, Presiden Persatuan PKS Malaysia Michael Kang, Ketua Pengarah Pendidikan Dr Habibah Abdul Rahim dan profesor psikiatri bersekutu Dr Sivakumar Thurairajasingam. – 26 Julai, 2021.
Berita penuh di sini
Komen