Parlimen Perancis lulus cadangan pasport vaksin walau ramai rakyat bantah


Salah seornag peserta memegang sepanduk betulis "Saya bukan tikus makmal" ketika protes besar-besaran di Louvre, bagi menentang vaksinasi Covid-19 dan undang-undang pasport vaksin di Paris, Perancis. – Gambar EPA, 26 Julai, 2021.

PARLIMEN Perancis telah mengundi untuk menjadikan pasport vaksin Covid-19 sebagai keperluan penting penduduk selepas Dewan Negara dan Senat berkompromi untuk melaksanakan cadangan itu.

Hasil perjanjian itu muncul ketika lebih 160,000 warga Perancis memprotes undang-undang pelaksanaan pasport vaksin tersebut.

Presiden Emmanuel Macron minggu lalu mengarahkan pas kesihatan digunakan jika rakyat mahu mengunjungi tempat-tempat awam seperti pawagam atau kelab malam.

Pengumuman itu menunjukkan Macron untuk menjadikan vaksinasi sebagai kepentingan teratas melawan Covid-19, maksudnya rakyat perlu dapatkan vaksin jika mahu kembali kepada kehidupan sebelum pandemik.

Pasport vaksin mendapat tentangan hebat dari pelbagai pihak, yang percaya pelaksanaannya dapat mengikis kebebasan rakyat.

Parti pemerintah berhadapan tugas berat untuk meluluskan pasport vaksin itu di Parlimen. Ahli Parlimen pro-Macron menguasai Majlis Negara, namun Senat dikuasai pembangkang.

Senat telah bersetuju dengan undang-undang tersebut tetapi dengan nemanbah pelbagai pindaan yang ditakuti kerajaan kerana boleh mengekang pelaksanaan pasport vaksin itu.

Kedua-dua pihak mengadakan perbincangan selama tiga jam pada Ahad, mencari persetujuan meluluskan rang undang-undang pada malam itu dengan majoriti - 156 suara, dengan 60 menentang dan 14 tidak mengundi.

Perundangan masih perlu dipersetujui Majlis Perlembagaan iaitu pihak berkuasa pentadbiran tertinggi Perancis, sebelum menjadi undang-undang, langkah tambahan yang diminta oleh Perdana Menteri Jean Castex. – AFP, 26 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen