SEORANG ahli Parlimen kerajaan meminta Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengkaji semula peranan beberapa menteri yang kelihatan tidak membantu pelan pemulihan negara keluar daripada Covid-19.
Salim Sharif (Jempol-BN) menyebut nama sekurang-kurangnya dua menteri dalam kabinet Muhyiddin iaitu Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun.
“Saya harap dalam keadaan ini boleh dikaji beberapa menteri yang tidak berperanan untuk membantu kerajaan dalam fasa pemulihan negara,” katanya semasa berucap atas penerangan Muhyiddin mengenai pelan pemulihan negara.
Ahli Parlimen Umno itu menegur Rina yang disifatkannya “sudah tenggelam” ketika banyak rakyat masih menunggu bantuan makanan yang dijanjikan oleh kerajaan.
“Di mana peranan menteri wanita yang telah diperuntukkan untuk menyalurkan bantuan makanan?
“Di kawasan saya masih ramai kontak rapat kepada mereka yang kena jangkitan Covid-19 tapi bantuan makanan tak sampai.
“Di mana menteri ini ketika ini? Saya minta menteri ini juga bertanggungjawab,” katanya.
Salim sebelum itu menegur Saifuddin yang disifatkannya tidak memainkan peranan berkesan membantu penyebaran maklumat daripada kerajaan mengenai pengurusan Covid-19.
Katanya, tidak semua rakyat faham akan peraturan atau SOP pencegahan Covid-19 yang kini dikaitkan dengan pelaksanaan fasa pemulihan.
“Di sini saya mahu menegur menteri komunikasi dan multimedia. Saya melihat menteri ini tidak lagi berperanan untuk membantu menyebarkan segala maklumat.
“Dalam keadaan ini yang paling penting bagaimana peranan menteri membantu perdana menteri,” katanya.
Jelas Salim, peranan menteri komunikasi bukan sekadar menjelaskan tentang maklumat benar dan tidak benar.
“Ketika negara susah dilanda Covid, mana menteri yang saya maksudkan,” tanyanya.
Dalam ucapannya, Salim juga membangkitkan isu vaksin kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan pada hujung tahun ini
“Kita tidak mahu sekolah hari ini buka tutup buka tutup. Kalau sudah buka, tetap buka. Kalau tutup, tak buka-buka lagi,” katanya.
Beliau juga bertanya sama ada pelajar yang perlu menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) mempunyai peranti yang cukup serta kemudahan internet yang sesuai.
“Anak-anak di luar bandar masih keciciran kerana tidak dapat internet. Jadi saya harap menteri yang bertanggungjawab cari jalan, apa exit plan, bagaimana hendak menyelesaikan isu yang berkaitan,” katanya.
Salim berucap menyambung sidang hari pertama mesyuarat khas Dewan Rakyat yang diadakan untuk pentadbiran Muhyiddin memberi penerangan mengenai hal ehwal berkaitan pengurusan Covid-19. – 26 Julai, 2021.
Komen