DENGAN bertindak bersama dan bersolidariti, tindakan doktor kontrak mengadakan protes akan dapat memalukan kerajaan, kata P Ramasamy.
Timbalan ketua menteri II Pulau Pinang itu berkata kontrak doktor selama ini memikul beban berkhidmat sepanjang pandemik Covid-19, dan tidak diberi penghargaan oleh kerajaan.
Dijadualkan pada 11 pagi ini kira-kira 4,000 hingga 5,000 doktor muda yang masih dalam perkhidmatan kontrak di seluruh negara dijangka mengambil bahagian dalam satu protes.
Protes itu diadakan ketika negara berdepan lonjakan kes Covid-19 dan jumlah kematian semakin tinggi.
Doktor di seluruh negara dijangka akan menyertai protes Hartal Doktor Kontrak yang akan bermula hari ini.
Mendakwa tiada pilihan lain, wakil kumpulan itu, Dr Umar Baraka berkata doktor dari Hospital Sungai Buloh – salah satu pusat rawatan utama pesakit Covid-19 – juga akan turut serta dalam mogok tersebut.
Ini akan menjadikan sistem kesihatan awam huru-hara kerana pada masa ini terdapat lebih 145,000 kes aktif Covid-19.
Lokasi mogok antara lain akan berlaku di Hospital Sultanah Bahiyah di Kedah, Hospital Taiping dan Ipoh, Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail di Johor serta Hospital Sungai Buloh bermula 11 pagi.
Ramasamy dalam satu kenyataan berkata doktor kontrak di hospital kerajaan sudah tidak ada pilihan lagi kecuali memberi tekanan kepada kerajaan untuk mendapatkan jawatan tetap yang menjadi isu sejak sekian lama untuk mereka.
Beliau berkata sukar dipastikan sama ada mogok hartal akan benar-benar berlangsung hari ini atau tidak, kerana pihak berkuasa memberi pelbagai amaran supaya ia tidak dilakukan.
“Sama ada mogok berlangsung atau tidak, atau ditangguhkan ke tarikh lain pada masa akan datang, ia tidak merendahkan perjuangan mereka,” katanya.
Katanya, tidak diserapkan ke jawatan tetap adalah masalah serius untuk doktor kontrak sejak dulu lagi, tetapi keadaan bertambah buruk apabila pandemik berlaku.
“Tidak ada masa depan untuk doktor kontrak, hanya segelintir saja dapat pekerjaan di hospital swasta.
“Kebanyakan doktor muda yang berkhidmat secara kontrak dengan kerajaan berdepan masa depan suram,” katanya.
Ramasamy berkata tanpa alternatif untuk menyertai sektor swasta kerana kekurangan kepakaran, harapan doktor kontrak hanya untuk mendapatkan jawatan tetap di hospital kerajaan. – 26 Julai, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen