SEBANYAK RM645,000 ditemui di rumah dan akaun bank milik dua pegawai kanan polis dan tujuh individu lain yang ditahan kerana rasuah hari ini menerusi satu operasi yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Daripada jumlah itu RM79,000 wang tunai ditemui di rumah ketua polis daerah Melaka Tengah.
Pegawai polis berpangkat asisten komisioner berusia 54 tahun itu antara tiga individu dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini untuk ditahan reman.
Suspek yang ditahan ialah dua ketua polis daerah di Melaka, dua daripada IPK Melaka, masing-masing seorang pegawai daripada IPD Melaka Tengah dan IPD Jasin.
Kesemua suspek yang berusia antara 31 hingga 54 tahun itu kini ditahan reman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Awal hari ini, SRPM menahan reman enam individu termasuk tiga pegawai polis dari Melaka Tengah dan Jasin.
Tiga suspek lain ialah orang awam.
Difahamkan RM79,000 itu ialah antara RM186,000 yang ditemui di rumah beberapa suspek sementara RM459,000 dalam akaun bank mereka.
Wang itu dipercayai diperoleh daripada wang perlindungan yang diminta daripada pengusaha pusat judi dan rumah urut haram di sekitar Melaka.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Azam Baki berkata pegawai polis yang terbabit dalam kes itu dipercayai meminta rasuah daripada pengusaha terbabit dan memaksa mereka membayar wang perlindungan.
Azam berkata suspek orang awam itu bertindak sebagai orang tengah melicinkan proses pengutipan wang rasuah sebagai wang perlindungan bagi melindungi kegiatan haram pengusaha tersebut. – 17 Mei, 2017.
Komen