Kes Covid-19 di Malaysia rasmi lebih 1 juta


Angka keseluruhan jangkitan itu menjadikan secara purata seorang daripada setiap 32 penduduk di negara ini telah dijangkiti Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 25 Julai 2021.

MALAYSIA melepasi rekod lebih sejuta kes jangkitan Covid-19 apabila Kementerian Kesihatan mengesan 17,045 lagi kes dalam tempoh 24 jam lalu, umum Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Jumlah itu juga adalah rekod harian tertinggi yang baharu untuk hari ketiga berturut-turut selepas 15,902 kes direkodkan semalam dan sehari sebelum itu 15,573 kes.

Angka keseluruhan jangkitan 1,013,438 kes menjadikan secara purata seorang daripada setiap 32 penduduk di negara ini telah dijangkiti Covid-19, sejak wabak bermula di China itu mula dikesan masuk ke Malaysia pada hujung Januari 2020.

Jumlah jangkitan harian tertinggi ini direkodkan ketika kadar kebolehjangkitan Covid-19 untuk seluruh negara adalah 1.11, berdasarkan kes harian semalam.

Pada 16 Julai, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan mengunjurkan jangkitan 17,000 sehari pada pertengahan Ogos dan seterusnya 24,000 sehari pada pertengahan September.

Dr Noor Hisham juga berkata angka jangkitan harian boleh turun tidak lebih 1,000 pada Oktober sekiranya Malaysia meningkatkan suntikan vaksin dos kedua kepada 150,000 sehari.

Purata dos kedua vaksin untuk tujuh hari lalu ialah 138,068 sehari, berdasarkan jumlah yang diumumkan setiap hari oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19.

Selangor, Kedah rekod tertinggi

Sementara itu, Selangor dengan 8,500 kes sekali lagi merekodkan kes hari tertinggi bagi negeri itu, sementara Kuala Lumpur mencatat 2,045 kes baharu.

Sehingga semalam juga, lebih kurang satu dalam empat  penduduk dewasa di Selangor dan Kuala Lumpur sudah diberikan vaksin lengkap.

Kedah juga hari ini merekodkan kes tertinggi bagi negeri itu dengan 1,216 kes. Sebagai perbandingan, setakat ini hanya 15% penduduk dewasa di Kedah sudah selesai menerima vaksin.

Pengurusan Covid-19 bagi Lembah Klang kini diletakkan di bawah sebuah pasukan bertindak khas diketuai timbalan ketua pengarah kesihatan (kesihatan awam) Dr Chong Chee Kheong.

Pasukan itu ditubuhkan untuk menangani isu berkaitan peningkatan jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital dan beban pada sistem penjagaan kesihatan dengan kadar segera.

Pasukan itu minggu ini mengumumkan Hospital Selayang sebagai hospital khas Covid-19, tambahan kepada dua hospital sebelum ini di Selangor iaitu Hospital Sungai Buloh tahun lalu dan Hospital Ampang pada Jun lepas. – 25 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen