KETUA Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow tidak akan hadir ke mesyuarat khas Parlimen bermula esok kerana diarah menjalani kuarantin di rumah selepas pegawai pengiringnya disahkan positif Covid-19.
Ahli Parlimen Tanjong berkata arahan terhadapnya dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dan berkuat kuasa serta merta.
“Saya telah memaklumkan kepada Setiausaha Dewan Rakyat berhubung arahan kuarantin yang dikeluarkan kepada saya sebentar tadi,” katanya dalam satu kenyataan.
Chow menjelaskan beliau sebelum ini disahkan negatif selepas menjalani saringan Tindak Balas Berantai Polimerase Masa Nyata (RT-PCR) kelmarin, yang diwajibkan oleh pihak Parlimen, untuk persidangan khas mulai esok.
“Saya perlu menjalani satu lagi ujian saringan pada Rabu, 28 Julai ini,” tambahnya.
Media malam tadi melaporkan tiga ahli Parlimen positif Covid-19 termasuk Ahli Parlimen Bagan Datuk Ahmad Zahid Hamidi yang juga presiden Umno dan Ahli Parlimen Nibong Tebal Mansor Othman yang juga timbalan menteri pengajian tinggi.
Kedua-dua mereka hari ini mengesahkan laporan itu.
Ahmad Zahid berkata beliau sedang menjalani kuarantin kendiri dan berada dalam keadaan baik tanpa sebarang simptom jangkitan.
“Saya tidak mengalami demam, batuk, selesema atau apa-apa gejala lain.
“Sekarang ini saya menjalani kuarantin kendiri dan bekerja seperti biasa secara dalam talian,” katanya.
Mansor juga berkata beliau tidak mengalami apa-apa gejala dan menjalani kuarantin di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Kuala Lumpur.
Sementara itu, seorang lagi ahli Parlimen yang dihebohkan positif Covid-19 malam tadi Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata beliau akan sekali lagi menjalani ujian RT-PCR hari ini.
Beliau mengulangi maklumannya kepada The Malaysian Insight malam tadi, ada kekeliruan mengenai status ujian terhadapnya kelmarin.
“Saya melakukan ujian RT-PCR pada hari Jumaat 23 Julai 2021 lepas. Alhamdulillah, petang semalam saya menerima keputusan ‘not detected’.
“Tetapi semalam juga tersebar berita bahawa saya disahkan positif Covid-19 tanpa pengesahan daripada saya sendiri,” katanya, sambil menjelaskan kekeliruan itu sudah nafikan kepada media.
“Esok saya akan hadir sidang Parlimen, insya-Allah,” tambahnya.
Dalam pada itu, 35 petugas Parlimen juga dilaporkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan semalam.
The Malaysian Insight difahamkan mereka terdiri daripada kakitangan Parlimen, pegawai agensi kerajaan yang dijadual bertugas di Parlimen mulai Isnin ini serta kakitangan kontraktor.
Dewan Rakyat akan bersidang lima hari antara 26 Julai hingga 2 Ogos diikuti Dewan Negara selama tiga hari antara 3 hingga 5 Ogos.
Sidang khas ini akan mendengar penerangan daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan empat menteri mengenai pengurusan pandemik Covid-19, daripada soal jangkitan dan vaksinasi sampailah kepada bantuan untuk rakyat dan pelan pemulihan. – 25 Julai, 2021.
Komen