SELEPAS tular laporan yang beliau positif Covid-19, Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan kesahihan laporan tetapi keadaannya masih sihat dan tidak menunjukkan sebarang gejala.
Presiden Umno itu juga berkata yang beliau sedang menjalani kuarantin di rumah dan memenuhi tanggungjawabnya secara dalam talian.
“Syukur alhamdulillah saya berada dalam keadaan baik tanpa sebarang simptom tidak diingini.
“Saya tidak mengalami demam, batuk, selesema atau apa-apa gejala lain.
“Sekarang ini saya menjalani kuarantin kendiri dan bekerja seperti biasa secara dalam talian,” tulisnya di Facebook mengesahkan beliau positif Covid-19.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut berjanji akan terus bekerja dan berharap rakyat mendoakan beliau pulih segera.
Beliau antara tiga nama yang dikhabarkan sah positif Covid-19 selepas menjalani saringan untuk ahli Parlimen pada Jumaat lepas.
Saringan itu dibuat sebagai langkah pencegahan untuk mengekang penularan wabak menjelang Sidang Khas Dewan Rakyat yang bermula esok.
Dua lagi yang dipercayai positif ialah Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa dan Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Aziz. Mereka bagaimanapun menafikan perkara itu.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM masih belum menerima laporan penuh saringan di Parlimen yang dijalankan pada Khamis dan semalam.
Semalam, wujud laporan media bahawa daripada saringan yang dijalankan, 35 orang disahkan positif Covid-19 termasuk beberapa orang ahli Parlimen. – 25 Julai, 2021.
Komen