SELANGOR tidak bertolak ansur dengan rasuah dan penyelewengan kuasa, kata menteri besarnya Amirudin Shari, selepas tiga pegawai daerah di negeri itu ditahan agensi anti rasuah minggu ini untuk siasatan kes rasuah daripada kontraktor projek dan pemaju perumahan.
“Kerajaan Negeri serius dan tegas dalam melawan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, malah Kerajaan Negeri juga sedang mengikuti dengan dekat beberapa jabatan yang berkenaan serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang didapati bersalah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Amirudin, beliau sedia maklum berita penahanan reman beberapa pengawai perkhidmatan awam Selangor oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan.
Amirudin dalam pada itu mengingatkan prinsip kedaulatan undang-undang bahawa tiada yang bersalah sehingga terbukti bersalah, sementara SPRM menjalankan siasatan.
“Justeru Kerajaan Negeri menghormati proses yang sedang berjalan dan kekal menjunjung prinsip ketelusan,” tambahnya.
Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapatkan perintah reman lima hari sehingga Rabu (28 Julai) terhadap seorang pegawai daerah dan seorang juruukur bahan untuk membantu siasatan.
Mereka ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Jumaat malam ketika hadir memberi keterangan.
.jpg)
Sehari sebelum itu, SPRM juga menahan reman sehingga Rabu dua pegawai daerah dan seorang kontraktor. Dua pegawai daerah itu juga merupakan bekas yang dipertua majlis perbandaran di Selangor.
Mereka dipercayai sebahagian daripada sindiket yang membolot projek bernilai puluhan juta di sekurang-kurangnya empat daerah di Selangor sejak 2012, kata sumber SPRM.
Siasatan awal SPRM mendapati sindiket ini menggunakan kira-kira 70 syarikat untuk membolot projek, termasuk 16 syarikat milik keluarga mereka dan selebihnya kroni atau proksi.
Pegawai daerah terlibat pula dikatakan menerima pelbagai suapan termasuk rumah bernilai RM1 juta, wang tunai dan pakej percutian ke Eropah. – 25 Julai, 2021.
Komen