MUHYIDDIN Yassin perlu meletak jawatan serta mengakui kegagalan menangani pandemik dan bukannya menyalahkan sistem kesihatan, kata bekas perdana menteri Najib Razak.
Beliau menyelar kenyataan perdana menteri itu yang mengaitkan kelemahan sistem kesihatan selepas kawalan pandemik kini menjadi kelam kabut dan parah.
Najib berkata kenyataan itu berbeza dengan sikap kerajaan yang memuji sistem kesihatan sebagai antara terbaik di dunia selepas berjaya menangani gelombang pertama pandemik tahun lalu.
“Pemimpin negara lain mengaku gagal, memohon maaf dan meletak jawatan bila mereka gagal mengawal Covid-19 dan ekonomi.
“Tapi pemimpin negara kita menipu rakyat dan menyalahkan sistem kesihatan pula apabila gagal,” kata Najib dalam kenyataan di Facebook.
Katanya lagi, kerajaan sepatutnya mengakui kegagalan itu berpunc dari kawalan pergerakan “separuh masak berulang kali”.
Kegagalan itu menyebabkan jumlah kes di Malaysia semakin tinggi apabila kawalan pergerakan dilanjutkan lebih lama, kata Najib.
Katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebaliknya bagaimanapun hanya mengumumkan kawalan pergerakan penuh selepas kegunaan unit rawatan rapi (ICU) lebih 100%.
Tindakan itu disebutnya sebagai kecuaian jenayah, dan kawalan penuh itu juga satu penipuan kerana banyak perniagaan dibenarkan beroperasi.
“Kebenarannya ialah kerajaan PN melakukan kecuaian jenayah dengan menunggu kapasiti ICU cecah 104% pada 25 Mei sebelum mengumumkan total lockdown (kawalan pergerakan penuh) pada 1 Jun.
“Tapi menipu pula dengan (istilah penuh) selepas lebih 129,000 perniagaan dan 1,200 tapak pembinaan dibenar beroperasi dalam (kawalan pergerakan penuh),” katanya.
Muhyiddin semalam dalam kenyataannya berkata, kelemahan itu antara lain berpunca daripada kekurangan pelaburan dalam sistem kesihatan awam.
“Saya tidak menyalahkan pentadbiran sebelum ini, tapi hakikatnya kita tidak memberikan perhatian lebih mendalam kepada isu penjagaan kesihatan kita dan kemudahan hospital.
“Cantik hospital tetapi tak cukup katil, tak cukup alat-alat ICU, tak cukup ventilator, tak cukup oksigen.
“Semua tak cukup sebab tidak pernah berlaku dalam sejarah kita. Ini realiti, kita tidak boleh nafikan,” kata perdana menteri.
Kenyataan itu timbul sewaktu hospital awam di Lembah Kelang sesak dengan pesakit Covid-19, hinggakan ada yang terpaksa ditempatkan di atas lantai di wad kecemasan.
Jumlah pesakit Covid-19 di Malaysia yang sedang dirawat dijangka meningkat kepada 1 juta kes pada hari ini, dengan 153,633 lagi kes baharu direkodkan semalam dan 950 daripada di ICU.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah juga mengumumkan 184 kematian semalam, menjadikan jumlah korban 7,902 nyawa. – 25 Julai, 2021.
Komen