TIGA ahli Parlimen positif Covid-19 termasuk Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk-Barisan Nasional), lapor media, dua hari menjelang sidang Dewan Rakyat yang pertama sejak Parlimen ditutup susulan perintah darurat tujuh bulan lalu.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, seorang lagi ahli Parlimen yang positif Covid-19 ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Mansor Othman (Nibong Tebal-Perikatan Nasional).
Utusan Malaysia yang memetik sumber menamakan seorang lagi ialah Menteri Wilayah Persekutuan merangkap ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa. Setiausaha politik Annuar Budiman Mohd Zohdi bagaimanapun menafikan laporan itu.
Sumber di Putrajaya yang maklum mengenai perkembangan ini memberitahu The Malaysian Insight, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Bachok-PAS) positif Covid-19.
Nik Mohamad Abduh bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight ada kekeliruan mengenai statusnya, selepas ujian saringan wajib ke atas ahli Parlimen dan petugas menjelang mesyuarat khas Parlimen bermula Isnin ini.
“Ada kesangsian tadi, okay dah… result negative (hasil ujian negatif),” katanya ketika dihubungi.
Laporan Utusan Malaysia juga menyebut Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon sedang menjalani kuarantin selepas pegawai pengiringnya didapati positif Covid-19.
Sementara itu, Astro Awani melaporkan empat lagi ahli Parlimen menjalani kuarantin kerana mereka kontak rapat kepada tiga ahli Parlimen yang positif.
Mereka didapati positif Covid-19 apabila semua ahli Parlimen serta petugas selesai disaring pada Jumaat lepas, lapor portal berita tersebut.
Dalam pada itu, 35 petugas Parlimen juga dilaporkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan semalam.
The Malaysian Insight difahamkan mereka terdiri daripada kakitangan Parlimen, pegawai agensi kerajaan yang dijadual bertugas di Parlimen mulai Isnin ini serta kakitangan kontraktor.
Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata semua ahli Parlimen dibenarkan hadir ke persidangan mulai Isnin biarpun belum semua sudah menerima dua dos suntikan vaksin.
Beliau memberitahu 35 ahli Parlimen telah menerima satu dos vaksin Covid-19, sementara empat lagi belum mendapatkan suntikan vaksin atas sebab-sebab tertentu.
Dewan Rakyat akan bersidang lima hari antara 26 Julai hingga 2 Ogos diikuti Dewan Negara selama tiga hari antara 3 hingga 5 Ogos.
Sidang khas ini akan mendengar penerangan daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan empat menteri mengenai pengurusan pandemik Covid-19, daripada soal jangkitan dan vaksinasi sampailah kepada bantuan untuk rakyat dan pelan pemulihan.
Sidang khas Parlimen minggu depan diadakan selepas pelbagai pihak mendesak kerajaan membuka Parlimen biarpun di tengah darurat, seperti yang dititah nasihat oleh Yang di-Pertuan Agong sejak hujung Februari.
Darurat sejak 11 Januari dijadual tamat pada 1 Ogos.
Mesyuarat pertama Dewan Rakyat bagi penggal keempat Parlimen ke-14 kemudian ditetapkan bermula pada 6 September. – 24 Julai, 2021.
Komen