Semua ahli Parlimen dibenar hadir sidang Dewan Rakyat, kata sumber


Chan Kok Leong

Cadangan untuk menghadkan sidang Dewan Rakyat kepada hanya 80 ahli Parlimen dalam satu sesi persidangan dikemukakan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon minggu lalu. – Gambar AFP, 24 Julai, 2021.

SIDANG khas Dewan Rakyat bermula Isnin ini tidak akan dihadkan kepada hanya 80 ahli Parlimen bagi setiap sesi persidangan, kata sumber.

“Perkara itu telah dibincangkan Jawatankuasa Dewan semalam, dan semua bersetuju supaya kesemua 220 ahli Parlimen dibenarkan hadir sidang khas Dewan Rakyat minggu depan,” katanya kepada The Malaysia Insight.

Hanya seorang ahli Parlimen yang telah meminta penjelasan dari Ketia Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah sebelum itu, tambahnya.

“Tetapi oleh kerana Dr Noor Hisham tiada masalah membenarkan semua ahli Parlimen menghadiri sidang Dewan Rakyat, maka persoalan mengenai menghadkan kepada 80 ahli Parlimen tidak dibangkitkan.”

Beberapa ahli Parlimen pembangkang mengesahkan perkara tersebut.

Jawatankuasa Dewan dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan enam ahli Parlimen yang dilantik oleh Jawatankuasa Pemilih.

Jawatankuasa ini menimbangkan dan menasihati Yang Dipertua atas segala perkara berkaitan dengan kesenangan dan kemudahan serta khidmat ahli-ahli Parlimen.

Jawatankuasa Dewan diwakili Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah-PN), Shahidan Kassim (Arau-BN), Abdul Latiff Abdul Rahman (Kuala Krai-PN), Tiong King Sing (Bintulu-GPS), Alice Lau (Lanang-PH) dan Dr Mohd Hatta Ramli (Lumut-PH).

Cadangan untuk menghadkan sidang Dewan Rakyat kepada hanya 80 ahli Parlimen dalam satu sesi persidangan dikemukakan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon minggu lalu.

Cadangan tersebut sama seperti sidang pada November tahun lalu, di mana jumlah kehadiran ahli Parlimen dihadkan kepada 80 orang pada satu-satu masa bagi membendung jangkitan Covid-19. 

Pecahan pembahagian ahli Parlimen ketika itu adalah 41 dari pihak kerajaan manakala 39 adalah pembangkang serta Bebas.

Persidangan Dewan Rakyat juga berlangsung selama empat jam bermula jam 10 pagi hingga 2 petang. – 24 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen