MALAYSIA mesti mengubah cara berfikir untuk mengurus pandemik, kata pemimpin DAP, ketika jumlah keseluruhan mereka yang dijangkiti Covid-19 di negara ini dijangka mencecah lebih sejuta orang esok.
Setakat semalam, Kementerian Kesihatan merekodkan keseluruhan 980,491 kes positif Covid-19 di negara ini sejak ia mula dikesan pada hujung Januari 2020. Daripada jumlah itu, 825,387 (84%) sembuh.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata pengurusan Covid-19 memerlukan pemikiran baharu yang tidak terikat pada sikap berpuak, setelah langkah-langkah yang diambil selama ini tidak berjaya.
“Kita perlu cara berfikir baharu dan bukannya sikap berpuak-puak atau kumpulan pemikir yang tebal telinga, yang mana kerajaan sudah tidak lagi boleh berpaut pada langkah dan pendekatan melawan Covid-19 yang tidak berjaya atau tidak berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengambil contoh Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang diumumkan keanggotaannya kelmarin, Guan Eng mengingatkan kerajaan supaya mengutamakan pakar profesional dan bukannya politik yang berpihak.
“Pakar bidang masing-masing ini bukan sahaja perlu ada latar belakang profesional tetapi mesti berani untuk bersuara kepada pemerintah,” katanya.
__full.jpg)
Beliau menyebut beberapa anggota yang dilantik yang mungkin pakar bidang tetapi sebelum ini membatu semasa negara berhadapan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Guan Eng juga mencadangkan beberapa nama yang sepatut dilantik ke MPN seperti pakar ekonomi Dr Jomo Kwame Sundaram, pakar kesihatan Yahya Awang serta bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Rafidah Aziz.
Sementara itu, Guan Eng juga berkata DAP setakat ini belum menerima makluman rasmi untuk menyertai MPN.
Katanya, DAP akan menimbangkan penglibatannya selepas menerima jemputan dan meneliti terma rujukan.
Jangan putus harap
Dalam pada itu, veteran DAP Lim Kit Siang menyeru rakyat upaya tidak putus asa, ketika Malaysia akan mencipta rekod “yang memalukan” jadi antara 30 negara dengan kes Covid-19 tertinggi di dunia.
“Perkara termudah untuk kita lakukan sekarang adalah untuk hanya menyerah kalah kepada kekecewaan dan rasa berputus asa,” katanya.
__full.jpg)
Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata kebanyakan negara dengan kes Covid-19 yang tinggi ini, seperti Amerika Syarikat, India, dan United Kingdom, berjaya mengawal keadaan untuk mengurangkan jangkitan baharu.
“Adakah program imunisasi kebangsaan – yang mencapai kadar setengah juta dos diberikan – penyelesaian kepada masalah kita?
“Perkara ini bergantung kepada sama ada kita boleh mempercepatkan lagi program ini dan sama ada sasaran untuk memberikan vaksin kepada semua orang dewasa menjelang bulan Oktober dapat dicapai,” katanya.
Ahli Parlimen lapan penggal itu juga menyifatkan sidang Parlimen Isnin ini berlangsung pada waktu yang kritikal.
“... sama ada ia akan menandakan permulaan strategi dan dasar baharu untuk mengawal penularan wabak Covid-19 atau sama ada kita akan terus mengulangi kesilapan lampau,” katanya.
Sidang khas Parlimen ini akan mendengar penerangan daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan empat menteri lain mengenai hal ehwal berkaitan pengurusan Covid-19. – 24 Julai, 2021.
Komen