Dah jimat duit beli vaksin, tambahlah isi bakul makanan, kata Najib kepada Putrajaya


Najib Razak berkata Putrajaya sudah berjimat dalam pembelian vaksin kerana derma vaksin negara lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Julai, 2021.

PUTRAJAYA sepatutnya menambah baik program bakul makanannya dengan menambah bahan atau jumlah penerima kerana barangan disediakan dalam bakul pada masa sekarang tidak mencukupi, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Dalam satu hantaran di Facebook, Najib berkata Putrajaya pada masa sekarang tidak banyak berbelanja untuk skim bantuan bakul makanan kepada rakyat walaupun sudah menjimatkan RM150 juta kerana menerima derma vaksin dari beberapa buah negara.

“Sebelum ini, kerajaan PN kata mereka akan korek RM5 bilion dari dana KWAN yang dibina kerajaan BN masa saya, untuk membiayai sepenuhnya program vaksinasi negara.

“Namun selepas itu, Malaysia telah diderma 2.5 juta dos vaksin - 1 juta dari Amerika Syarikat, 1 juta dari Jepun dan 500 ribu dari China.

“Dengan anggaran kos RM60 satu dos, kerajaan sudah jimat RM150 juta,” katanya.

Tambahnya, jika kerajaan enggan menambah lebih ramai penerima atau menambah baik isi bakul makanan, Perikatan Nasional sepatutnya memberikan wang tunai supaya penerima bakul boleh membeli lauk tambahan.

“Dan jika tak mahu tambah kandungan bakul, berilah duit tunai RM50 atau RM100 bagi setiap penerima supaya mereka boleh beli sedikit lauk,” katanya.

Dakwanya lagi, kerajaan sebenarnya hanya membelanjakan RM5 juta untuk program bakul makanan walaupun peruntukan untuk 420,000 bakul makanan di bawah Program Bakul Prihatin mencecah RM21 juta.

“Baki RM16 juta daripada bajet RM21 juta program bakul prihatin ini sebenarnya disumbang Yayasan Petronas (RM5 juta), AEON Big (RM4 juta), Pharmaniaga (RM3 juta), Tenaga Nasional Berhad (RM2 juta) dan Telekom Malaysia (RM2 juta),” katanya.

Menurut laporan akhbar The Star, 420,000 bakul akan diedarkan kepada 1.68 juta penerima yang terjejas kerana pandemik.

Persediaan bakul itu diuruskan Skuad Prihatin Negara (SPN), sebuah kumpulan sukarelawan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Setiap bakul bernilai RM50 dan mengandungi beras, gula, tepung, mee, kicap, sardine, biskut, kopi dan garam.

 Sesiapa yang memerlukan bantuan bakul makanan boleh menghubungi Talian Kasih di nombor 15999, atau Whatsapp 019-261 5999 atau akaun rasmi media sosial kementerian atau Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat daerah terdekat.

Pada 16 Julai lepas, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata tiada rakyat akan ketinggalan di dalam program bantuan kerajaan dalam usaha membantu mereka yang kehidupannya terjejas kerana pandemik Covid-19. – 24 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen