EKUADOR pada Jumaat melaporkan 27 orang banduan terbunuh dalam rusuhan di dua penjara minggu ini yang memaksa kerajaan mengisytiharkan darurat.
Presiden Guillermo Lasso mengeluarkan perintah darurat “untuk menggerakkan semua sumber manusia dan ekonomi diperlukan bagi mengembalikan semua aturan” di penjara Ekuador selepas keganasan tercetus pada Rabu di penjara di Guayas, selatan Ekuador dan Cotopaxi di tengah-tengah negara itu.
Badan pengurusan penjara SNAI pada Jumaat di Twitternya berkata “19 orang banduan dilaporkan terbunuh, salah seorang digantung” di penjara Cotopaxi.
Lapan lagi banduan dilaporkan terbunuh di penjara Guayas.
Pada mulanya, pihak berkuasa melaporkan 22 kematian dalam rusuhan itu dengan 57 lagi cedera termasuk lapan anggota polis dengan salah seorangnya dirogol.
Gabenor Cotopaxi Oswaldo Coronel pada sidang media menjelaskan yang jumlah korban yang tidak dimaklumkan sebelum ini hanya ditemui pada malam Khamis menyebabkan ia tidak disertakan dalam pengumuman awal.
SNAO juga berkata 86 orang banduan di Cotopaxi yang melarikan diri sudah ditangkap semula, tetapi tidak menyebut jumlah banduan yang berjaya meloloskan diri.
Pada Februari lepas, keganasan turut tercetus di dua penjara itu apabila dua kumpulan banduan bergaduh untuk berkuasa dalam kawasan penjara menyebabkan 79 banduan terbunuh.
Sistem penjara Ekuador mempunyai 60 penjara yang direka untuk menempatkan 29,000 orang banduan tetapi ia berdepan dengan masalah kesesakan dan kekurangan kakitangan.
Sejak pandemik Covid-19 meletus, Ekuador menggunakan hukuman alternatif untuk kesalahan kecil bagi mengurangkan jumlah banduan dan berjaya mengurangkan kesesakan penjara daripada 41% kepada 30%.
Kumpulan hak asasi Ekuador berkata 103 orang terbunuh dalam penjara Ekuador pada 2020. – AFP, 24 Julai, 2021.
Komen