FILIPINA melarang kemasukan pengembara dari Malaysia dan Thailand, bermula Ahad sebagai langkah untuk mengekang penularan varian Delta, lapor agensi berita Reuters.
Jurucakap presiden Harry Roque dipetik berkata larangan perjalanan akan berlangsung hingga akhir Julai.
“Tindakan ini dilakukan untuk mencegah penyebaran lebih jauh dan penyebaran komuniti varian Covid-19 di Filipina,” kata Roque.
Ini bukan kali pertama Filipina mengenakan sekatan perjalanan.
Ia sebelum ini melarang kemasukan dari lapan negara termasuk Indonesia dan India.
Di peringkat domestik, Presiden Rodrigo Duterte menjadikan Manila dan empat wilayah di bawah kawalan koronavirus lebih ketat hingga akhir Julai sebagai usaha mencegah penularan varian Delta.
Filipina mencatatkan 47 kes varian Delta dan mengakibatkan tiga kematian.
Dengan hampir 1.54 juta jangkitan dan hampir 27,000 kematian, Filipina mempunyai jumlah kes dan korban koronavirus kedua tertinggi di Asia Tenggara, selepas Indonesia.
Minggu lalu Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata varian Delta yang membawa maut itu didapati sangat mudah menular kerana boleh menjangkiti orang lain hanya dalam masa 15 saat.
Ketua pengarah kesihatan berkata jika dibandingkan dengan mutasi lain, tahap kebolehjangkitani varian Delta jauh lebih tinggi, sambil menambah virus juga tersebar melalui udara.
“Sebelum ini, kita tahu seseorang boleh dijangkiti daripada individu positif Covid-19 yang lain jika mereka mempunyai kontak rapat kurang dari 1m selama kira-kira 15 minit.
Malaysia semalam mencatatkan rekod tertinggi 15,573 kes harian Covid-19 dengan Selangor juga mencapai jumlah tertinggi sebanyak 7,672 kes.
Jumlah keseluruhan kes kini hampir mencecah angka 1 juta, dengan kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan kepada 980,491.
Noor Hisham berkata ini adalah kali pertama jangkitan melebihi 15,000 kes dilaporkan dalam sehari, dengan jumlah tertinggi sebelumnya sebanyak 13,215 pada 15 Julai.
Lebih separuh kes dilaporkan di Lembah Klang. Selain Selangor, Kuala Lumpur mencatatkan 2,063 kes.
Kementerian Kesihatan juga melaporkan 144 kematian yang menjadikan jumlah kematian sebanyak 7,718 orang. – 24 Julai, 2021.
Komen