15,573 kes baharu Covid-19, tertinggi setakat ini, kata KP kesihatan


Jumlah dilaporkan hari ini menjadikan negara kini menanggung beban kes keseluruhan sebanyak 980,491. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 23 Julai, 2021.

HARI ini negara mencatatkan kes jangkitan Covid-19 paling tinggi sebanyak 15,573, lapor Kementerian Kesihatan, dengan Selangor turut mencatat jangkitan harian tertinggi antara negeri dengan 7,672 kes.

Jumlah dilaporkan hari ini menjadikan negara kini menanggung beban kes keseluruhan sebanyak 980,491, menghampiri 1 juta.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham berkata ini adalah kali pertama kes harian lebih 15,000 dilaporkan dengan jangkitan harian tertinggi sebelum ini sebanyak 13,215 dilaporkan pada 15 Julai lepas.

Lebih separuh daripada kes hari ini melibatkan Lembah Klang. Selain Selangor, Kuala Lumpur mencatat 2,063 kes.

Dr Noor Hisham berkata, Kedah melaporkan 937 kes sementara Johor melaporkan 722 jangkitan.

Negeri lain yang melaporkan kes baharu harian ialah Sabah (516), Sarawak (461), Negeri Sembilan (682), Pulau Pinang (530), Kelantan (372), Perak (415), Melaka (452), Pahang (457), Terengganu (229), Labuan (21) dan Putrajaya (41).

Perlis satu-satunya negeri melaporkan jangkitan satu digit, dengan hanya tiga kes.

Setakat semalam, Malaysia telah memberikan 507,050 vaksin Covid-19, jumlah harian pemberian paling tinggi.

Sehingga ini, 5.1 juta atau 15.6 penduduk telah telah melengkapkan vaksinasi Covid-19 dengan dua suntikan, manakala 10.9 juta atau 33.4% penduduk telah mendapatkan suntikan pertama vaksin mereka.  – 23 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen