Vaksin Sinovac mula dijual Ogos, kata Khairy


Alfian Z.M. Tahir

JKAV akan membincangkan garis panduan serta syarat berhubung penjualan vaksin Covid-19 jenis Sinovac minggu depan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2021.

VAKSIN Covid-19 jenis Sinovac akan mula dijual mulai bulan depan, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Vaksin tersebut akan dijual di klinik dan hospital swasta, yang akan diberi garis panduan berkenaan penjualan termasuk penetapan harga siling, katanya.

“Bekalan Sinovac akan dibekalkan oleh pasaran swasta mulai Ogos,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba hari ini.

Tambah beliau, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) akan membincangkan garis panduan serta syarat berhubung penjualan vaksin Sinovac minggu depan.

Rabu lalu, Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata sebanyak 14 juta dos vaksin Sinovac akan dijual secara terus kepada syarikat swasta dan negeri dari Pharmaniaga Bhd mulai bulan ini sehingga September.

Ismail Sabri berkata senarai syarikat dan negeri yang memohon untuk pembelian vaksin itu akan dirujuk terlebih dahulu kepada JKJAV untuk semakan.

“Mereka boleh membuat tempahan sekarang terus kepada Pharmaniaga, dan akan dirujuk kepada JKJAV kerana nama-nama penerima yang disenarai mungkin duplikasi ataupun telah menerima vaksin.

“Negeri-negeri juga ada berminat mahu beli secara terus, sebagai contoh Selangor telah lama meminta menjual terus kepada mereka tetapi Jawatankuasa ini mempunyai jadual program mereka sendiri, sebab itulah kita belum boleh berikan terus,” katanya pada sidang media pada Rabu. – 23 Julai, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen