Orang ramai dibenar rakam video, ambil gambar ketika disuntik, kata Khairy


Alfian Z.M. Tahir

Individu yang menerima suntikan dibenarkan mengambil gambar dan merakam video ketika mereka disuntik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2021.

SEMUA individu dibenarkan membuat rakaman dan mengambil gambar ketika diberi vaksin untuk mengelakkan salah faham, kata Khairy Jamaluddin.

Khairy, menteri penyelaras program vaksinasi negara berkata ia susulan beberapa insiden yang mendakwa picagari kosong disiarkan di media sosial.

“Saya mengarahkan mulai sekarang, orang ramai boleh merakam video atau mengambil gambar ketika diberi vaksin.

“Ini untuk mengelakkan salah faham dan menunjukkan bukti yang semua orang mendapat suntikan mereka,” katanya hari ini semasa sidang media maya bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Penerima vaksin sebelum ini dilarang merakam atau mengambil gambar semasa menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Mereka hanya diizinkan mengambil gambar atau video di kawasan yang dikhasnya selepas selesai menerima suntikan. – 23 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen