Khairy nafi petugas kesihatan barisan hadapan jual vaksin Covid-19 ke sindiket


Alfian Z.M. Tahir

Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata pihaknya tidak salahkan petugas barisan hadapan kerana faham dengan risiko dan beban tugas mereka. – Gambar EPA, 23 Julai, 2021.

PEGAWAI kesihatan tidak terbabit dalam menjual vaksin Covid-19 kepada sindiket, kata Khairy Jamaluddin hari ini.

Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan itu pada sidang akhbar secara maya hari ini berkata dakwaan terhadap barisan hadapan kesihatan yang menjual vaksin itu adalah tidak benar.

Beliau mengulas tuduhan terhadap pegawai kesihatan yang dikatakan sengaja memberikan suntikan kosong kepada penerima vaksin bagi membolehkan mereka menjual vaksin itu kepada sindiket pasaran gelap.

“Kata-kata tentang barisan hadapan kita menjual vaksin kepada sindiket adalah tidak benar. Siasatan sudah dibuat berkenaan perkara ini dan polis juga berkata dakwaan itu tidak benar.

“Tiada ada sesiapa menjual vaksin kepada sindiket,” katanya.

Khairy berkata daripada jumlah keseluruhan 16 juta dos vaksin yang diberikan kepada rakyat Malaysia setakat ini, kementeriannya hanya menerima 13 laporan polis berkenaan dakwaan jarum suntikan kosong.

“Saya bukan memperkecilkan laporan itu, kita memandang serius perkara ini. Namun, daripada 13 laporan polis itu, ada yang sudah diselesaikan dan individu terbabit diminta memadam posting berkenaan di media sosial selepas kebenaran diketahui.

“Mereka mendakwa tidak rasa kesan sampingan, jadi buat kesimpulan yang mereka tidak divaksin. Ingin saya katakan kepada anda, kesan sampingannya ada pelbagai. Anda mungkin akan mengalaminya, atau mungkin tidak,” katanya.

Bagaimanapun, Khairy berkata ada satu kes di Sungai Petani di mana pegawai kesihatan mengakui memberikan suntikan jarum yang kosong kepada penerima kerana terlalu kepenatan.

“Pegawai berkenaan mengakui jarum suntikan berkenaan kosong tetapi ia berlaku kerana beban kerja beliau yang terlampau banyak. Amaran sudah diberikan dan beliau akan dikenakan tindakan disiplin.

“Ada juga dua kes di mana dos terlebih diberikan kerana ada salah faham. Kami tidak salahkan petugas barisan hadapan, kami faham risiko dan kerja yang mereka lakukan,” kata Khairy. – 23 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen