KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) tidak sepatutnya membuat kenyataan tidak saintifik bahawa terdapat penurunan jumlah jangkitan harian Covid-19 yang sekali gus memberikan rakyat harapan palsu, kata Tony Pua hari ini.
Ahli Parlimen Damansara merujuk kepada catatan di Facebook kementerian yang berkata kes harian Covid-19 mengalami penurunan berbanding minggu sebelum 15 Julai.
“Saya terkejut ketika melihat catatan Facebook KKM yang dengan bangga mengumumkan jumlah kes positif Covid-19 mengalami sedikit penurunan sejak 15 Julai 2021,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada 15 Julai, Malaysia melaporkan 13,215 kes. Kes terus menurun beberapa hari berikutnya dengan melaporkan 12,541 kes pada 16 Julai, 12,528 pada 17 Julai, 10,710 pada 18 Julai, 10,972 pada 19 Julai, 12,366 pada 20 Julai dan 11.985 pada 21 Julai.
Kadar kebolehjangkitan (Rt) juga melaporkan penurunan. Pada 15 Julai, Rt adalah 1.20 berbanding 21 Julai dengan Rt pada 1.09.
“Bagi orang awam, jumlah kes positif menunjukkan trend penurunan rendah sedikit.
“Tetapi KKM bukan orang awam, ia institusi institusi sains dan integriti utama yang diharapkan puluhan juta rakyat Malaysia untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan mereka.
“Ini tidak seharusnya memberi rakyat harapan palsu dengan kenyataan tidak saintifik,” kata Pua.
Bagaimanapun, jumlah harian meningkat lagi, dengan sebanyak 13,034 kes baharu dilaporkan semalam.
“‘Kesilapan’ Facebook KKM dibuktikan dengan laporan semalam 13,034 kes positif daripada 128,279 ujian yang dilakukan, memberikan kadar kepositifan pada 10.16%.”
Pua juga menegaskan “sedikit penurunan” disebabkan kurangnya ujian saringan Covid-19 yang dilakukan sementara kadar kepositifan masih tinggi.
Kadar positif Malaysia secara konsisten melebihi ambang 5% yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Pada masa ini, kadar kepositifan sekitar 12%.
“Ia sama sekali tiada penurunan berhubung kadar positif. Sebaliknya, ia menunjukkan peningkatan ketara apabila jumlah ujian saringkan dikurangkan.” – 23 Julai, 2021.
Berita penuh di sini
Komen