SERAMAI sembilan individu termasuk kakitangan hospital awam ditangkap di Peru selepas disyaki “menjual” katil unit rawatan rapi (ICU) kepada pesakit koronavirus yang terdesak, kata polis dan pendakwa raya semalam.
Sembilan individu termasuk pengarah sebuah NGO ditangkap pada Rabu dan hadir di mahkamah semalam.
Pendakwa Reynaldo Abia memberitahu wartawan bahawa siasatan dibuka selepas menerima aduan daripada seorang ahli keluarga pesakit Covid-19 yang membayar kos katil berkenaan.
Kumpulan itu didakwa meminta kira-kira AS$20,500 untuk memasukkan pesakit dalam senarai menunggu bagi mendapatkan katil ICU di Hospital Guillermo Almenara di Lima.
Peru sangat teruk dilanda wabak koronavirus pada awal tahun ini menyebabkan hospital berkenaan berdepan tekanan sangat tinggi selain bekalan oksigen hampir habis.
Pada April, negara ini mencatatkan 15,547 pesakit Covid-19 di hospital namun kemudian menurun kepada kira-kira 7,000 pesakit hari ini.
Dengan kira-kira dua juta jangkitan dan hampir 200,000 kematian, Peru adalah negara di dunia dengan kadar kematian koronavirus tertinggi. – AFP, 23 Julai, 2021.
Komen