Lebih separuh golongan dewasa di Eropah lengkap terima vaksin Covid-19


Seramai 200 juta penduduk Eropah sudah divaksin sepenuhnya, lebih dari separuh populasi orang dewasa tetapi masih kekurangan sasaran 70% yang ditetapkan untuk musim panas. – Gambar EPA, 23 Julai, 2021.

KESATUAN Eropah (EU) semalam berkata, seramai 200 juta penduduk Eropah sudah divaksin sepenuhnya, lebih dari separuh populasi orang dewasa tetapi masih kekurangan sasaran 70% yang ditetapkan untuk musim panas.

Jurucakap Suruhanjaya Eropah Dana Spinant memberitahu wartawan bahawa berdasarkan data terbaru Pusat Kawalan Penyakit Eropah, 54.7% populasi dewasa divaksin sepenuhnya dengan dua dos atau satu dos untuk vaksin Johnson & Johnson.

“Kami mempunyai 68.4% golongan dewasa di EU yang sudah mendapat dos pertama.

“Kita sekarang adalah di antara wilayah-wilayah di dunia yang paling banyak melakukan vaksinasi, tetapi penting agar ia dapat dilakukan dengan cara lebih seimbang sehingga tidak ada ruang untuk virus menyebar dan bermutasi,” katanya.

Program EU bermula lebih perlahan dari Britain dan Amerika Syarikat kerana kekurangan bekalan dan mendapat kritikan berat pada bulan-bulan pertama tahun ini.

Suruhanjaya Eropah yang menyelaraskan tempahan vaksin untuk 27 negara anggota menerima banyak aduan.

Ketua Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen mengumumkan pada 10 Julai bahawa EU mempunyai dos yang cukup untuk memvaksinasi sekurang-kurangnya 70% populasi dewasa bulan ini.

Menurut data rasmi yang dikumpulkan oleh AFP, lebih 440 juta dos sudah diberikan di Kesatuan Eropah. Itu adalah 98.4 dos per 100 penduduk, sementara Amerika Syarikat memberikan 102.4 dos setiap 100 penduduk. – AFP, 23 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen