Rakyat perlu muhasabah waktu pandemik ini, kata PM


Perdana Menteri berkata pandemik Covid-19 ini satu ujian daripada Allah dan Islam menganjurkan umatnya bersabar, reda dan tidak putus asa berikhtiar mencari penyelesaian. – Gambar tangkap layar Facebook RTM, 22 Julai, 2021.

MUHYIDDIN Yassin meminta rakyat untuk bersama-sama bermuhasabah di atas ujian pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

Perdana Menteri berkata wabak itu adalah satu ujian daripada Allah SWT sementara dalam Islam dianjurkan untuk terus bersabar, reda dan tidak berputus asa untuk berikhtiar dalam mencari penyelesaian.

Selain itu, katanya, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) merupakan antara ikhtiar dalam melindungi rakyat daripada wabak tersebut.

Beliau turut menghargai kesungguhan petugas barisan hadapan, penjawat awam, badan bukan kerajaan dan orang perseorangan dalam menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan dalam keadaan sukar ketika ini.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Malaysia Berzikir Bersama Perdana Menteri menerusi slot rancangan Forum Perdana Ehwal Islam yang disiarkan secara langsung di TV1 dan media sosial rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) malam ini.

Program secara maya bermula jam 9 malam itu turut disertai Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Alunan zikir itu dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni, Imam Besar Masjid Putra Ikmal Zaidi Hashim, Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Nor Azamir Alias dan Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan Muhyidin Aziz.

Program itu disusuli dengan Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk Menginsafi Hikmah dengan panel undangan iaitu pakar motivasi Mohd Fadhilah Kamsah; Pensyarah Universiti Malaya Prof Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail dan pendakwah, Muhammad Ashraf Ridzuan. – Bernama, 22 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen