Dana itu untuk PRU, bukan untuk Bersatu, kata Syed Saddiq


Chan Kok Leong

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata tuduhan bahawa beliau mengambil dana Bersatu berjumlah RM120,000 pada 8 dan 9 April 2018 tidak masuk akal kerana parti itu diisytiharkan tidak sah pada 3 April 2018. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 Julai, 2021.

BEKAS menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pendaftaran Bersatu telah dibatalkan ketika beliau didakwa menganjurkan majlis kumpul dana pemuda Bersatu.

Katanya jumlah RM120,000 yang dikumpulkan semasa majlis itu pada 8 dan 9 April 2018 adalah untuk kempen pilihan raya umum 2018 di Muar, bukan untuk Bersatu.

“Dana berjumlah RM120,000 yang dikumpulkan pada masa itu untuk digunakan dalam kempen PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) saya di Muar, walaupun perbelanjaan sebenarnya sekitar RM171,000,” kata ahli Parlimen Muar itu melalui video langsung di Facebook malam ini.

Bekas ketua pemuda Bersatu itu berkata tuduhan bahawa beliau mengambil dana Bersatu tidak masuk akal kerana parti itu diisytiharkan tidak sah pada 3 April 2018.

“Mana mungkin untuk parti sedangkan Bersatu diisytiharkan tidak sah pada 3 April dan akaun bank parti digantung.

“Lebih-lebih lagi, jika anda lihat semua undangan majlis kumpul dana itu, tidak sebut pun mengenai Armada atau Bersatu. Apa yang disebut ketika itu ‘majlis kumpul dana untuk Johor’,” kata Syed Saddiq.

Beliau yang juga presiden dan pengasas Muda berkata ketika itu beliau turut menjemput Perdana Menteri sekarang Muhyiddin Yassin menghadiri majlis kumpul dana tersebut atas kapasiti sendiri, bukannya sebagai ketua Armada.

“Malah, Menteri Kanan sekarang ini Mohamed Azmin Ali dan keluarganya juga datang dan bagi sumbangan,” kata Syed Saddiq.

Pagi ini, ahli Parlimen Muar berusia 29 tahun itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan dua pertuduhan menyalahgunakan dana bekas partinya, berjumlah RM1.12 juta.

Dalam pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa mengeluarkan wang tunai RM1 juta melalui cek bank CIMB pada 6 Mac tahun lalu tanpa mendapat kebenaran Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Bagi tuduhan kedua, beliau didakwa menyalahguna sumbangan kempen pilihan raya Bersatu berjumlah RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad.

Syed Saddiq didakwa bertindak demikian antara 8 April hingga 21 April 2018 melibatkan dana dalam akaun yang didakwa milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Pertuduhan dibuat ke atasnya mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 406 itu membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun, sebatan dan denda.

Bagaimanapun, presiden Muda itu mengaku tidak bersalah ke atas dua tuduhan itu. – 22 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen