JUMLAH kes aktif Covid-19 hari ini meningkat kepada 142,051 selepas Kementerian Kesihatan merekodkan 13,034 kes baharu berbanding 8,436 kes pulih, kata Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.
Ketua pengarah kesihatan berkata seramai 938 pesakit turut dirawat di unit rawatan rapi (ICU) manakala 134 kes kematian direkodkan hari ini.
Ini merupakan hari yang ke-27 Malaysia merekodkan jumlah kes aktif lebih tinggi berbanding kes pulih.
Kali terakhir negara merekodkan lebih banyak kes pulih berbanding kes jangkitan baharu adalah pada 25 Jun, dengan 6,775 kes pulih berbanding 5,812 kes jangkitan baharu.
Dr Noor Hisham berkata pesakit yang dirawat di ICU turut meningkat 11 orang, iaitu daripada 927 kepada 938 hari ini, manakala mereka yang memerlukan alat bantuan pernafasan kekal 459.
Sementara itu jumlah kes kematian menyaksikan penurunan hari ini namun ia masih merekodkan tiga digit iaitu 134, menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian 7,574.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai 13,034 kes baharu hari ini, Dr Noor Hisham berkata hanya 0.65% daripada kes itu menyumbang Kategori 4 dan 5 manakala 93.35% kes dilaporkan antara Kategori 1 dan 3.
Berhubung pecahan kes, beliau berkata 7,179 kes dibawah Kategori 1 (tidak bergejala), 5,646 kes di bawah Kategori 2 (bergejala ringan), 124 kes di bawah Kategori 3 (radang paru-paru), 73 kes di bawah Kategori 4 (radang paru-paru dan perlu bantuan oksigen) dan 13 kes Kategori 5 (kritikal dan memerlukan alat bantuan pernafasan).
Mengenai kes kematian hari ini, Noor Hisham berkata 119 daripada mereka adalah warga tempatan dan 15 warga asing.
Beliau juga berkata empat negeri merekodkan kes kematian dua digit. - Selangor 39 kematian, Kuala Lumpur (32), Negeri Sembilan (18) dan Johor (15).
Negeri lain yang turut merekodkan kes kematian adalah Perak dan Melaka (masing-masing 7 kes), Pahang (5), Kedah (4), Pulau Pinang, Terengganu dan Labuan (masing-masing 2 kes), dan Sabah (1).
Dr Noor Hisham juga berkata sebanyak 22 kes kematian luar hospital dilaporkan hari ini yang mana Kuala Lumpur merekodkan lapan kes, Selangor (7), Johor, Melaka dan Labuan ( masing-masing 2 kes) dan Perak (1). – 22 Julai, 2021.
Komen