Buka sekolah secara bertahap, kata Maszlee


KPM baru-baru ini mengumumkan pembukaan sekolah di seluruh negara bermula 1 September. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Julai, 2021.

PEMBUKAAN semula sekolah pada September mesti dimulakan dengan sekolah di kawasan yang paling kurang jangkitan Covid-19 dan tidak membukanya serentak bagi mengelak berlakunya penularan baharu virus, kata bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik.

Mempersoalkan rasional di sebalik keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan pembukaan semula sekolah pada 1 September tanpa garis panduan bagi prosedur operasi standard (SOP), Maszlee berkata sekolah juga harus diberi autonomi untuk memutuskan tarikh pembukaandengan mengambil kira kes Covid-19 di daerah masing-masing .

“Jika KPM bertegas ingin semua sekolah dibuka, pastikan ianya dilakukan secara berfasa dengan keutamaan diberikan kepada sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman yang kurang murid terlebih dahulu, disusuli sekolah-sekolah di kawasan hijau, kemudian baharulah pembukaan sekolah ke kawasan yang kadar penerima vaksinnya melebihi had imuniti kelompok,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

“Pembukaan serentak di seluruh negara dikhuatiri hanya akan mengulangi kluster sekolah seperti sebelum ini,” katanya.

KPM perlu menetapkan SOP yang jelas kerana kanak-kanak di bawah usia 18 tahun masih tidak boleh menerima vaksin Covid-19, katanya.

Oleh itu, sebelum membuka semula sekolah, KPM mesti memastikan semua guru dan kakitangan sekolah seperti pengawal keselamatan dan pekerja kantin diberi vaksin.

Maszlee juga mencadangkan agar hanya murid daripada keluarga dengan orang dewasa yang telah divaksinasi, sekurang-kurangnya satu dos dibenarkan kembali ke sekolah pada permulaan pembukaan semula.

Langkah lain yang harus diambil KPM semasa membuka semula sekolah adalah dengan melaksanakan penggiliran jadual bagi mengehadkan jumlah pelajar yang hadir.

“Sebagai contoh, bagi sekolah rendah, tahap satu pada Isnin dan Rabu, tahap dua pada Selasa dan Khamis; bagi sekolah menengah pula, tingkatan satu dan dua pada Isnin dan Rabu, tingkatan tiga dan empat pada Selasa dan Khamis, ataupun apa yang terbaik menurut pertimbangan pihak sekolah demi mengurangkan bilangan pelajar dalam sekolah setiap hari. Bagi calon SPM dan STPM pula, sesi persekolahan mereka janganlah diganggu.”

Maszlee juga meminta agar murid Tahun Satu hingga Tiga diberi keutamaan kembali ke sekolah kerana kanak-kanak lebih sukar menyesuaikan diri dengan pelajaran dalam talian.

Beliau menambah yang bilangan pelajar di kelas mesti dikekalkan, waktu persekolahan harus dipendekkan dan mereka diberi banyak masa di luar kerana pakar kesihatan menekankan pentingnya pengudaraan.

Maszlee yang merupakan ahli Parlimen Simpang Renggam, berkata banyak ibu bapa dan juga kakitangan jabatan pendidikan meluahkan kebimbangan kepadanya sejak pengumuman KPM baru-baru ini yang pada 1 September sekolah dibuka semula tanpa persiapan mencukupi. – 22 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen