Sekatan sempadan AS-Mexico dilanjut sehingga 21 Ogos


Dinding sempadan yang memisahkan Tijuana dan San Diego dilihat dari Mexico. AS-Mexico menutup sempadan untuk perjalanan tidak penting sehingga 21 Ogos susulan penyebaran wabak Covid-19. – Gambar EPA, 22 Julai, 2021.

SEMPADAN AS-Mexico akan ditutup untuk perjalanan tidak penting sehingga 21 Ogos susulan wabak koronavirus, kata kedua-dua negara semalam walaupun Mexico berusaha untuk membuka semula sempadan.

Kerajaan Mexico pada Jun mengusulkan rancangan ke Amerika Syarikat untuk membuka semula sempadan laluan darat seiring dengan kempen vaksinasi Covid-19 secara besar-besaran di sepanjang sempadan.

Tetapi Amerika Syarikat memaklumkan kepada Mexico bahawa mereka memutuskan untuk melanjutkan sekatan sempadan untuk sebulan lagi, kata kementerian luar Mexico di Twitter.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS mengesahkan lanjutan itu dengan mengatakan pihaknya terus mengadakan komunikasi dengan pihak berkuasa Mexico “untuk mengenal pasti keadaan di mana sekatan dapat dilonggarkan dengan selamat dan lestari.

Sempadan darat ditutup untuk lalu lintas tidak penting pada Mac 2020.

Dengan 609,000 kematian Covid-19, Amerika Syarikat mencatatkan jumlah kematian wabak tertinggi di dunia.

Angka kematian rasmi koronavirus di Mexico lebih dari 236,000, merupakan yang keempat tertinggi di dunia. – AFP, 22 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen