Jawatan PM dijanji kepada Anwar, Muhyiddin tiada peluang, kata Dr Mahathir 


Noel Achariam

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Muhyiddin Yassin tidak akan berpeluang untuk menjadi perdana menteri sekiranya tidak menjatuhkan Pakatan Harapan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai, 2021.

MUHYIDDIN Yassin tidak akan berpeluang untuk menjadi perdana menteri sekiranya beliau tidak menjatuhkan Pakatan Harapan, kata Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Dr Mahathir berkata beliau menjanjikan jawatan itu kepada Anwar Ibrahim.

Bekas perdana menteri berkata Muhyiddin melihat bahawa dengan menjatuhkan Pakatan Harapan beliau akan berpeluang untuk dipilih sebagai perdana menteri.

“Muhyiddin tahu dia tidak akan jadi perdana menteri kerana saya sudah janji yang Anwar akan mengambil alih bila saya berundur.

“Sekiranya Anwar menjadi perdana menteri, saya tidak rasa dia akan lantik muhyiddin jadi timbalannya. Jadi Muhyiddin tiada peluang untuk jadi PM,” katanya pada sidang media yang diadakan secara maya.

Dr Mahathir berkata Muhyiddin tahu yang beliau (Dr Mahathir) tidak mahu bekerjasama dengan Umno.

“Tetapi dia (Muhyiddin) sedia untuk bekerjasama dengan Umno. Jadi itulah sebabnya mengapa saya tidak mahu sertai dan letak jawatan.

“Tetapi bila saya letak jawatan, Muhyiddin nampak peluang untuk dirinya menjadi PM.”

Ahli Parlimen Langkawi berkata Umno merasakan mereka boleh gunakan Muhyiddin sebagai perdana menteri untuk mengelak daripada kes mahkamah anamun Muhyiddin menyatakan beliau enggan campur tangan.

“Mereka ingat mereka boleh gunakan dia (Muhyiddin) untuk lari dari hukuman. Tetapi, dia tidak campur tangan dalam kes Najib.

“Tetapi dia campur tangan dalam kes Musa Aman (bekas ketua menteri Sabah), anak tiri Najib Riza Aziz dan (bekas menteri wilayah persekutuan) Tengku Adnan Tengku Mansor, yang semuanya terlepas,” katanya.

Tambah Dr Mahathir, kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri adalah kerana kesanggupannya untuk keluar dari PH dan menyertai Umno untuk membentuk kerajaan baharu. – 21 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen