Tidak semua keputusan Putrajaya baik untuk Sarawak, kata Abang Johari


Desmond Davidson

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari berkata dalam beberapa keadaan kerajaan negeri lebih tahu untuk menguruskan hal ehwalnya sendiri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai, 2021.

TIDAK semua keputusan Putrajaya baik untuk Sarawak, kata ketua menteri Abang Johari Openg dalam perutusannya sempena Hari Sarawak, yang akan disambut esok.

Katanya, dalam beberapa keadaan Sarawak lebih tahu untuk menguruskan hal ehwalnya sendiri, seperti yang dilakukan oleh pentadbirannya dalam pengurusan pandemik Covid-19.

“Kita hormat kerajaan persekutuan dan keputusan yang dibuat di peringkat persekutuan tetapi tidak semua keputusan di Putrajaya sesuai dan praktikal untuk dilaksanakan di Sarawak,” katanya dalam perutusan yang diedarkan hari ini.

Abang Johari menjelaskan Sarawak terpaksa menggunakan kuasanya yang sedia ada dalam undang-undang tubuh negeri untuk membuat keputusan-keputusan mengenai pengurusan Covid-19 yang lebih sesuai dengan keadaan di wilayah itu.

Keputusan kerajaan negeri katanya lebih praktikal dan berkesan, berbanding yang dibuat di Putrajaya, kerana saiz Sarawak yang luas, hampir sama besar Semenanjung Malaysia, dan beberapa keadaan lain yang unik yang menyukarkan keputusan persekutuan dilaksanakan.

Beliau memberikan contoh keputusan Putrajaya mengenai pendaftaran vaksinasi Covid-19 menggunakan aplikasi MySejahtera.

“Ini contoh yang jelas. Kita permudahkan proses itu dengan membenarkan penduduk di pedalaman mengambil vaksin dahulu dan selepas itu mendaftar di aplikasi MySejahtera.

“Susah untuk mereka di rumah panjang dan kampung di pedalaman untuk daftar dan akses kepada MySejahtera,” katanya, merujuk pada masalah sambungan Internet.

Jelas Abang Johari, kelonggaran untuk membuat keputusan itu membolehkan proses vaksinasi dipercepatkan di Sarawak.

Pada masa ini, lebih 60% daripada 2.2 juta penduduk dewasa Sarawak sudah mendapat dos pertama vaksin Covid-19.

Abang Johari juga menegaskan Sarawak perlu menentukan masa depannya sendiri jika ia mahu diiktiraf sebagai rakan kongsi setara persekutuan Malaysia dan membangun maju sama seperti negeri-negeri lain.

Sarawak mendapat hak mentadbir wilayahnya daripada British pada 22 Julai 1963, lebih kurang dua bulan sebelum ia bersama-sama Sabah, Singapura dan Malaya membentuk Malaysia.– 21 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen