RAKYAT Malaysia semakin sukar tidur kerana gelisah akibat lama terkurung di rumah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19, kata pakar kesihatan.
Kebanyakan juga tidak dapat tidur nyenyak memikirkan keadaan kewangan selepas hilang pekerjaan atau pendapatan terjejas akibat pandemik, tambah mereka.
Pakar ini memberitahu The Malaysian Insight, masalah kurang tidur jika dibiarkan berpanjangan akan menyebabkan keletihan dan masalah kesihatan lain seperti berat badan naik dan sleep apnea atau apnea tidur, iaitu keadaan yang berlaku apabila seseorang kerap berhenti bernafas ketika tidur.
Individu yang sukar tidur pula berkata mereka mengalami masalah tersebut sejak awal tahun iaitu ketika kerajaan melaksanakan PKP 2.0 dan melarang semua aktiviti sosial.
Pakar Perunding Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya Prof Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin berkata sejak PKP pertama kali dikuatkuasakan pada Mac tahun lalu, kebanyakan rakyat Malaysia mengisi masa lapang dengan menonton drama Korea dan berjaga sehingga lewat malam kerana bekerja dari rumah.
Arahan bekerja dari rumah semasa PKP katanya merubah rutin harian orang ramai, sekali gus menyebabkan mereka sukar tidur.
“Bukan itu sahaja, bilik tidur juga sudah bertukar jadi tempat bekerja.
“Kebelakangan ini, kesukaran untuk tidur disebabkan oleh beban kerja yang berpanjangan dan sehingga ke satu tahap kehabisan tenaga. Tidak dapat bersenam kerana sekatan pergerakan juga boleh membawa kepada masalah sukar tidur,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurutnya lagi, kegelisahan dan tekanan akibat hilang pekerjaan dan pendapatan juga menjadi penyebab seseorang sukar tidur.
“Ada yang lebih teruk terjejas kerana beban kerja atau hilang pekerjaan. Mereka memikirkan masalah pada waktu malam,” kata Dr Amir, menambah ini akan menyebabkan seseorang berisiko dilanda kemurungan.
Pakar psikologi dari Aleo Mind, Lai Chen Wen, pula berkata setiap orang perlu mengamalkan ‘sleep hygiene’ iaitu tabiat tidur baik supaya sihat secara fizikal dan emosi.
“Sleep hygiene boleh disesuaikan mengikut keperluan individu, tetapi secara amnya ada empat aspek yang perlu diberi perhatian: mengamalkan gaya hidup sihat, menetapkan jadual tidur, menyesuaikan persekitaran tempat tidur dan menetapkan rutin malam.
“Kurang tidur boleh menyebabkan keletihan, lemah daya ingatan, hilang fokus dan mudah marah. Lama-kelamaan akan menjejaskan kesihatan mental dan fizikal seseorang, hubungan sosial dan prestasi kerja atau belajar.
“Salah satu cara untuk untuk mengelakkan kesan-kesan ini ialah dengan mengamalkan sleep hygiene,” katanya.
Amir mencadangkan individu yang mengalami masalah sukar tidur mendapatkan bantuan pakar psikiatri, pakar neurologi atau telinga, hidung dan tekak bagi memahami corak tidur mereka.
“Kalau anda mengalami sindrom apnea tidur obstruktif, yang menyebabkan anda sukar tidur, ia mudah dirawat.”
Lai pula mencadangkan mereka menceritakan masalah sukar tidur kepada keluarga atau rakan, atau melakukan aktiviti yang menyeronokkan.
“Ataupun, dapatkan bantuan pakar supaya masalah tidur dapat diatasi.”
Sleep Disorder Society Malaysia (SDSM) dalam laporan terkininya berkata ramai rakyat Malaysia semua peringkat umur mengalami masalah tidur.
Masalah ini dialami selama hampir 16 bulan sejak pandemik Covid-19 melanda negara dan antara lain akibat penggunaan berlebihan peranti elektronik susulan arahan bekerja dari rumah dan pembelajaran dalam talian. – 22 Julai, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen