MAHB sahkan disiasat SPRM


MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) mengesahkan syarikat itu disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pemberian tender pemeriksaan dan ujian saringan Covid-19 untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, MAHB berkata semua maklumat dan dokumen berkenaan pemberian kontrak tersebut telah diberi semasa kunjungan SPRM ke ibu pejabatnya.

“Syarikat memberi kerjasama penuh dan mematuhi semua syarat SPRM serta tiada permintaan lanjut daripada SPRM.”

The Edge pada Isnin melaporkan SPRM menyiasat kontrak yang diberi kepada BP Clinical Lab Sdn Bhd.

Laporan itu menyebut SPRM juga sedang menyiasat pemberian tender MAHB bagi sistem penggerak penumpang automatik (APM) atau aerotrain.

MAHB bagaimanapun menafikan laporan tersebut dan menegaskan proses pemerolehannya tendernya mematuhi Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS), yang berfungsi sebagai perlindungan tambahan untuk menyediakan lapisan kawalan integriti dalam proses syarikat. – 21 Julai, 2021.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen