Kadar jangkitan bukan asas pelan pemulihan Covid-19, kata Ismail Sabri


Chan Kok Leong

Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ketika bercakap kepada pemberita di Shah Alam hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 21 Julai, 2021.

KADAR jangkitan Covid-19 tidak menjadi asas pelan pemulihan negara (PPN), kata Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, mempertahankan negeri dengan kadar jangkitan tinggi yang sekarang dibenarkan memasuki Fasa 2 pemulihan yang mempunyai lebih banyak kelonggaran pergerakan.

Sabah dan Terengganu kini antara lapan negeri dalam Fasa 2 PPN biarpun masing-masing mempunyai kadar jangkitan 1.25 dan 1.33, yang membayangkan Covid-19 lebih mudah menular.

“Kita akan kekalkan kriteria sedia ada,” kata Ismail Sabri di Shah Alam, hari ini.

Kriteria sedia ada ialah jumlah jangkitan harian, kapasiti unit rawatan rapi di hospital dan kadar penduduk yang sudah divaksin.

“Kita akan kekal ini walaupun ini tertakluk pada perubahan kerana pandemik ini dinamik,” katanya kepada wartawan.

Ismail Sabri sebelum itu menyaksikan penyerahan kelompok terakhir bekalan vaksin jenis Sinovac oleh Pharmaniaga kepada Kementerian Kesihatan.

Terengganu diikuti Sabah semalam mencatatkan kadar jangkitan tertinggi di Malaysia berbanding Selangor (1.12) yang lebih padat penduduk dan sekarang diletakkan dalam Fasa 1.

Purata kadar jangkitan nasional semalam juga 1.12, menurut Kementerian Kesihatan.

Negeri lain yang dalam Fasa 2 PPN ialah Perlis, Perak, Kelantan, Pahang, Pulau Pinang dan Sarawak.

“Selangor dalam Fasa 1 kerana jangkitan baharu dan penggunaan ICU juga tinggi.

“Kalau jangkitan di Selangor terus tinggi, penggunaan katil ICU juga akan tinggi,” kata Ismail Sabri.

Menurut Ismail Sabri, walaupun kadar vaksinasi di Selangor bertambah baik, penggunaan katil ICU masih tinggi menyebabkan negeri itu kekal dalam Fasa 1 PPN.

Majlis hari ini menandakan berakhirnya penyerahan keseluruhan 12.4 juta dos vaksin jenis Sinovac oleh Pharmaniaga kepada kerajaan.

Pharmaniaga ialah syarikat tempatan yang mengendalikan vaksin buatan China itu. – 21 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen