SEBANYAK 199 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu, yang merupakan kes kematian tertinggi dalam sehari sejak permulaan pandemik, kata Kementerian Kesihatan.
Kematian tertinggi harian sebelum ini 153 orang pada 18 Julai.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kumulatif kes kematian kini 7,440.
Malaysia merekodkan tiga digit angka kematian buat hari ke lapan berturut-turut dari 12 Julai hingga 19 Julai namun ia menurun kepada 93 semalam, yang mana memberikan harapan kepada rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, jumlah kes yang direkodkan hari ini menunjukkan sebaliknya.
Sejak 10 hari lalu, dari 12 Julai hingga hari ini, Malaysia merekodkan 1,282 kes kematian, iaitu purata 128 kematian sehari.
Mengulas lanjut mengenai kes kematian, Dr Noor Hisham berkata 84 kematian direkodkan di Selangor, 57 di Kuala Lumpur, 16 di Melaka dan 12 di Kedah.
Negeri lain yang turut merekodkan kes kematian adalah Negeri Sembilan (7), Johor dan Pahang (masing-masing 6), Terengganu (3), Pulau Pinang, Perak dan Kelantan (masing-masing 2), Sabah dan Sarawak (masing-masing 1).
Daripada jumlah kematian itu, 33 adalah kematian luar hospital dengan 21 dari Selangor, 10 dari Kuala Lumpur dan satu masing-masing dari Melaka dan Kelantan.
Sementara itu jumlah kes aktif turut meningkat kepada 137,587 selepas merekodkan 11,985 kes jangkitan baharu berbanding 7,902 kes pulih setakat tengah hari ini.
Dr Noor Hisham berkata 97.6% daripada kes baharu yang direkodkan hari ini adalah Kategori 1 dan 3, manakala hanya 2.4% kes adalah daripada Kategori 4 dan 5.
Mengenai perinciannya, Dr Noor Hisham berkata 5,850 kes berada di bawah Kategori 1 (tidak bergejala), 5,847 kes di bawah Kategori 2 (gejala ringan), 178 kes di bawah Kategori 3 (radang paru-paru), 45 kes di bawah Kategori 4 (radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen) dan 65 kes di bawah Kategori 5 (yang berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan alat bantuan pernafasan).
Jumlah pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan yang memerlukan alat bantuan pernafasan juga tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan selepas ia meningkat masing-masing kepada 927 dan 459.
Malaysia hanya kurang 50,000 kes untuk mencapai 1 juta kes keseluruhan.
Sekiranya jumlah kes yang direkodkan berterusan, ia boleh dicapai dalam tempoh empat hari lagi. – 21 Julai, 2021.
Komen