KKM perlu pergiat ujian saringan Covid-19, kata Tony Pua


KKM tidak konsisten menjalankan ujian saringan Covid-19, kata Ahli Parlimen Damansara Tony Pua. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai, 2021.

UJIAN saringan Covid-19 yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan masih tidak cukup ketika negara terus mencatat kes harian lima angka, kata Tony Pua.

Merujuk kepada statistik yang dikeluarkan kementerian, ahli Parlimen Damansara itu berkata jumlah ujian yang dijalankan tidak konsisten, malah terlalu sedikit dalam tempoh enam minggu walaupun kadar jangkitan meningkat.

Kadar jangkitan yang tinggi katanya menunjukkan terdapat ribuan penduduk yang dijangkiti virus tetapi tidak diuji.

“Semasa minggu pertama PKP 3.0 bermula 23 Mei, KKM menjalankan 109, 601 ujian sehari dengan 7,631 kes dikesan atau kadar positif 6.96%.

“Bagaimanapun, bagi enam minggu seterusnya sehingga 10 Julai, KKM kurang menjalankan ujian saringan walaupun kadar jangkitan meningkat.

“Hanya baru minggu lalu KKM menjalankan lebih banyak ujian berbanding minggu pertama PKP 3.0.

Bagi minggu bermula 11 Julai, purata 120,165 ujian dijalankan dalam sehari, dengan kadar jangkitan 9.35% atau 11,327 kes positif dikesan sehari,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, KKM mengesan 12,366 kes baharu Covid-19 daripada 124,519 ujian saringan yang dijalankan, atau bersamaaan 9.93% kes positif.

Kegagalan mengesan puluhan ribu kes jangkitan dalam masyarakat akan menjadikan situasi pandemik dalam negara lebih buruk, tambah setiausaha publisiti DAP itu.

“Jika dibandingkan data ujian antara minggu pertama PKP 3.0 dengan minggu lalu (11-17 Julai), kadar kes positif naik dari 6.9% kepada 9.35%.

“Ini bermakna kita masih tidak cukup menjalankan ujian saringan dalam masyarakat,” katanya.

Menurutnya lagi, KKM sebelum ini menolak saranan supaya ujian saringan dijalankan secara menyeluruh di seluruh negara dan memilih pendekatan secara bersasar.

Ujian yang dijalankan itu pula hanya sedikit, tidak bersasar seperti yang dicadangkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Ada perbezaan ketara antara ‘ujian bersasar’ dan ‘ujian terhad’. Apa yang dijalankan oleh kementerian ketika ini adalah ‘ujian terhad’.”

Beliau selain itu menggesa supaya program ujian saringan melibatkan hospital dan klinik swasta, kilang dan tempat kerja, serta individu melalui kit ujian kendiri Covid-19.

Sekurang-kurangnya 1% atau 300,000 ujian perlu dijalanka sehari bagi mengelak gelombang baharu jangkitan, kata Pua. – 21 Julai, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen