GABENOR Jakarta Anies Baswedan memberi peringatan kepada pengurus masjid di ibu kota itu bahawa hospital sudah penuh untuk menampung pesakit Covid-19, lapor Antara.
Anies meminta mereka sedar akan risiko penularan wabak selepas ada masjid yang tetap menganjurkan solat sunat Aidiladha berjemaah semalam biarpun ada larangan dan nasihat pemerintah mengenai langkah-langkah pencegahan jangkitan Covid-19.
“Kepada pengurus masjid sedarilah rumah sakit sudah penuh. Jadi ini bukan dilarang saja, tempatnya kalau sakit sulit,” katanya seperti agensi berita itu.
Menurut Anies, pihak pengurusan masjid bukan saja bertanggungjawab mengutamakan syariat tetapi harus ikut sama menjaga keselamatan umat.
“Saya berharap kepada semua sedari risiko penularan. Kita sama-sama mementingkan syariat terlaksana dengan baik tapi keselamatan juga tetap terjaga,” katanya.
Pada 15 Julai, Anies mengeluarkan perintah gabenor mengenai tatacara sambutan Aidiladha, antaranya anjuran supaya solat sunat di rumah, larangan takbir keliling, dan menyembelih haiwan korban di rumah sembelihan.
Dalam pada itu, Anies juga merakamkan terima kasih kepada warga Jakarta yang mematuhi arahan berkenaan.
Indonesia merekodkan lebih 50,000 kes jangkitan Covid-19 dan kematian melebihi 1,000 orang setiap hari sepanjang minggu lalu. Rekod kematian tertinggi dalam sehari dicatat pada Isnin sebanyak 1,338.
Semalam, Presiden Joko Widodo berkata sekatan pergerakan dan pelbagai larangan yang dikenakan sekarang boleh dilonggarkan selepas 26 Julai sekiranya trend jangkitan harian berkurangan dan keadaan di hospital semakin lega.
Pakar kesihatan bagaimanapun memberi amaran kepada pihak berkuasa supaya tidak menjadikan jumlah jangkitan baharu sebagai penanda aras untuk membuat keputusan kerana kadar jangkitan sebenarnya tetap tinggi iaitu 33%. – 21 Julai, 2021.
Komen