SEBANYAK 15 juta dos vaksin Covid-19 sudah diberikan kepada penduduk Malaysia di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsan selepas 299,593 suntikan semalam, kata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) hari ini.
Sebanyak 204,064 individu mendapat dos pertama, sementara baki 95,529 sudah melengkapkan kedua-dua suntikan.
Angka vaksinasi harian kekal pada angka 400,000 dari 12 hingga 16 Julai, bahkan mencapai paras tertinggi sebanyak 460,158 pada 15 Julai, sebelum turun kepada 380,440 pada 17 Julai dan 344,961 pada 18 Julai.
Jumlahnya mencapai 424,936 pada 19 Julai, sebelum penurunan semalam, yang mungkin disebabkan oleh cuti umum Hari Raya Aidiladha.
Kali terakhir Malaysia memberikan vaksin sebanyak 200,000 adalah pada 11 Julai, dengan 291,217 dos.
Susulan angka terkini, 10.30 juta atau 31.9% daripada jumlah penduduk sudah menerima dos vaksin pertama mereka sementara selebihnya, 4.76 juta atau 14.6% daripada populasi sudah divaksinasi sepenuhnya.
Lembah Klang - yang merangkumi Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya - terus menjadi penerima vaksin tertinggi dengan jumlah sebanyak 5.47 juta dos setakat ini.
Sebanyak 4.14 juta atau 49.2% menerima suntikan pertama dan 1.32 juta atau 15.8% sudah lengkap kedua-dua dos.
Sementara itu, Labuan kekal sebagai negeri dengan kadar vaksinasi tertinggi iaitu 60.1% daripada jumlah penduduk sudah menerima dos pertama dan 44.5% lengkap kedua-dua dos.
Putrajaya ingin memberi vaksin kepada semua warga emas di Lembah Klang dengan sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 dalam beberapa minggu akan datang.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata semua orang dewasa di Malaysia akan diberi vaksin pada menjelang Oktober, sasaran imunisasi baharu yang ditetapkan kerajaan bagi membendung lonjakan kes Covid-19 baru-baru.
Beliau berkata pendekatan pantas program imunisasi Covid-19 nasional termasuk meningkatkan kapasiti vaksinasi hingga 500,000 dos sehari, untuk mengatasi munculnya varian baharu yang lebih ganas. – 21 Julai, 2021
Komen