Peneroka Felda lega hutang mansuh tapi belum tentu sokong Perikatan


Mohd Farhan Darwis Diyana Ibrahim

Majoriti peneroka masih penyokong tetap Umno dan BN walau gabungan itu tewas kepada PH dalam PRU14 lalu, kata peneroka generasi kedua Felda Sungai Tengi Muhammad Danial Aiman Zainuddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai 2021.

WALAU lega dengan tawaran pemansuhan 80% hutang, peneroka Felda berpendapat ia tidak semesti menunjukkan sokongan ke atas Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya umum akan datang.

Mereka mengesyakinya sebagai satu permainan politik dan mengandungi agenda tersembunyi, dan peneroka yang keluar dari rancangan Felda pula gembira kerana tidak lagi terbeban dengan tawaran seperti itu.

Salah seorang peneroka Muhammad Danial Aiman Zainuddin memberitahu The Malaysian Insight, mereka tidak semestinya menyokong PN kerana kawasan Felda masih lagi deposit tetap untuk Barisan Nasional (BN).

“Saya duduk di Felda sejak kecil, kebanyakan tahu Felda deposit tetap untuk BN, walaupun kerajaan bertukar tapi (sokongan) di Felda masih kekal untuk BN.

“Dari segi hutang dimansuhkan untuk kredit kepada (Perdana Menteri) Muhyiddin (Yassin) ada, tapi impak dari segi sokongan kepada PN tidak nampak lagi,” katanya.

Peneroka generasi kedua Felda Sungai Tengi ini berkata majoriti peneroka masih penyokong tetap Umno dan BN walau gabungan itu tewas kepada Pakatan Harapan (PH) dalam PRU14 lalu.

“Kalau dari segi sokongan kepada Muhyiddin, saya tak rasa beliau berjaya raih sokongan. Orang Felda dari dulu darahnya memang Umno.

“Ada juga segelintir PAS dan PKR, tapi memang tak dapat dinafikan peneroka Felda penyokong tegar BN.

“Orang Felda wala kepada Umno. Sama macam orang PAS yang wala kepada pemimpin mereka,” katanya.

Pengumuman itu berhubung persetujuan secara dasar untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion untuk mengurangkan beban peserta rancangan itu.

Menurut Muhyiddin, ia akan mengurangkan bayaran balik pinjaman daripada kadar RM800 ke RM1,000 kepada hanya RM250 ke RM300 sebulan bagi pengusaha tanaman kelapa sawit.

Peneroka yang mengusahakan getah pula akan dapat mengurangkan bayaran kepada kadar RM150, menurutnya dalam ucapan sempena sambutan Hari Peneroka pada 7 Julai lalu.

Menurutnya, isu hutang yang membelenggu peneroka dan pewaris antara belenggu yang menghalang rancangan tersebut bangkit semula sebagai syarikat perladangan terkemuka dunia.

Permainan politik

Pengumuman itu dibuat sewaktu pentadbiran Muhyiddin menerima tekanan hebat atas dakwaan gagal mengurus negara di saat pandemik Covid-19 berleluasa.

Isu hutang peneroka yang bertimbun bukan baharu kerana setiap kerajaan yang memerintah cuba menyelesaikannya.

Ia mendorong peneroka seperti Muhammad Danial menganggap pengumuman mengenai pemansuhan hutang secara bersyarat itu sekadar permainan politik PN.

“Tak dinafikan 80% hutang yang dimansuhkan itu permainan politik, tetapi (untuk tarik sokongan) PN kena jaga pengundi saluran muda.

“Sebab mereka kebanyakan dah tak ambil tahu pasal politik, mereka pengundi atas pagar tapi mana-mana bantuan mereka ambil,” katanya.

Seorang lagi peneroka Musalman Ismail mula menganggap tawaran pemansuhan hutang itu tidak jujur dan tidak akan menyokong PN kerana itu semata-mata

“Tak mungkin peneroka akan sokong Muhyiddin, (perjanjian mansuh hutang) itu memang tidak jujur dan pasti ada agenda tersembunyi,” kata peneroka Felda Sungai Tiang, Kedah itu.

Katanya lagi, sepanjang pentadbiran PN, kerajaan juga tidak menjaga kebajikan peneroka Felda sepertinya.

Azizul Sulaiman, peneroka dari Felda Palong, Negeri Sembilan juga berpendapata, PN sukar meraih sokongan peneroka sepertinya yang sejak dulu lagi menyokong BN.

“Macam mana pun saya rasa Muhyiddin buat, peneroka tak akan memberikan sokongan kerana sejak dahulu lagi peneroka adalah pengundi BN,” katanya.

Beliau juga melihat langkah Muhyiddin memansuhkan hutang itu tidak jujur.

“Mungkin dia (Muhyiddin) cuba untuk tarik sokongan peneroka kepada Bersatu,” katanya.

Kerajaan mengumumkan persetujuan secara dasar melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion untuk mengurangkan beban mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai 2021.

Agenda tersembunyi

Ada juga peneroka berpendapat, tindakan Muhyiddin itu mungkin mampu menarik sokongan segelintir peneroka kepada Muhyiddin.

Nasir Abu, peneroka dari Felda Teloi Kanan berkata, langkah berkenaan bagaimanapun tetap menunjukkan agenda tersembunyi pentadbiran Muhyiddin.

“Usaha memansuhkan hutang itu nampak macam perbuatan yang jujur tetapi kelihatannya macam ada agenda tersembunyi,” tambahnya.

Azizi Selamat, 42, generasi kedua dari Felda Penggili Timur, Johor juga was-was dengan tawaran kerajaan itu dan melihat ia tawaran yang terlalu baik dan mungkin tidak menjadi kenyataan.

Beliau juga berpendapat terdapat muslihat di sebalik pengurusan hutang peneroka itu kerana mereka sendiri tidak dapat mengesahkan jumlah hutang yang ditanggung setakat ini.

“Dari segi nak kurang hutang itu baik cuma saya tak tahulah. Masalahnya bila kita minta penyata tidak ada, kita sendiri pun tak tahu berapa yang kita hutang.

“Lepas itu dah 10 tahun saya bayar hutang jumlah itu macam tak berkurangan.

“Tapi bila kita tanya pengurusan, mereka kata kita kena berlapang dada. Sebab itu saya takut untuk terima, saya rasa macam ada muslihat,” katanya.

Oleh itu, Felda tidak boleh menyalahkan peneroka generasi kedua dan ketiga yang hilang keyakinan kerana berasa kebajikan mereka tidak diperjuangkan, katanya.

Kalangan peneroka lain pula berasa bertuah kerana sememangnya tidak lagi terikat dengan hutang Felda.

Isa Atan, 73, berkata beliau tidak perlu memikirkan tawaran itu kerana mengusahakan ladangnya sendiri dan keluar daripada pengurusan Felda.

Peneroka Felda Sungai Sibol di Johor itu juga berpendapat Felda bukan lagi deposit tetap untuk Umno dan BN.

Semua itu berubah selepas BN tewas pada PRU14 lalu yang membolehkan PH mengambil alih pentadbiran negara, katanya.

“Sokongan peneroka itu sendiri dah berpecah, Umno ini dah tak kuat macam dulu.

“Sentimen peneroka sekarang ini mereka akan memihak kepada pihak yang jadi kerajaan itu yang mereka sokong,” kata Isa.

Hanya kekeliruan peneroka

Pengumuman itu bagaimanapun disokong persatuan peneroka seperti Peneroka Felda Kebangsaan yang membangkitkan kekeliruan dalam butiran perjanjian di antara Felda dan peneroka.

Ketuanya Sulong Jamil Mohamed Shariff berkata, peneroka hanya keliru kerana berpendapat mereka harus menyerahkan ladang kepada Felda sekiranya bersetuju dengan syarat itu.

Sedangkan ladang kekal menjadi milik peneroka dan hanya pengurusan diserahkan kepada Felda untuk diseragamkan, katanya.

“Itu kita tekankan pengurusan kebun bersama Felda, bukan serah kepada Felda tapi bersama, ikut amalan pengurusan pertanian yang baik.

“Kebun hak peneroka, tapi pengurusan Felda buat ikut amalan tersebut,” kata Sulong.

Beliau berkata, pemansuhan itu hanya melibatkan hutang pengurusan kebun sahaja dan tidak meliputi hutang pinjaman perumahan atau pinjaman lain.

“Sudah 20 tahun kita minta mansuh. Itu pun kita minta separuh sahaja hutang dimansuhkan tapi Felda mansuh 80%.

“Baguslah, siapa yang setuju dan tandatangan akan serah balik kebun kepada Felda untuk diuruskan,” katanya.

Menurutnya, langkah berkenaan diambil bagi mengelakkan pasaran minyak sawit negara terjejas disebabkan tekanan daripada negara luar.

Melalui penyeragaman itu, Felda boleh memastikan pematuhan Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) dapat dicapai, katanya.

“Kalau ada peneroka setuju tandatangan dan hendak buat sendiri (uruskan ladang), boleh. Tapi ikut amalan pertanian bagus, elakkan tindakan daripada Eropah (dengan) pematuhan MSPO.

“Tetapi kalau buat sendiri, peneroka kena ikut amalan pertanian baik. Kalau mereka ditangkap buat pembakaran terbuka, itu akan menyusahkan pihak lain.

“Satu negara tak dapat jual minyak sawit nanti,” katanya.

Beliau mendedahkan, seramai 37,500 peneroka daripada 112,638 peneroka bersetuju dengan pemansuhan hutang itu dan menyerahkan pengurusan ladang kepada Felda.

Mereka diberikan masa sehingga 11 Oktober untuk menerima atau menolak cadangan pemansuhan hutang itu.

“Pemansuhan hutang yang kerajaan buat ini jujur, tiada niat apa-apa pun.

“Apabila hantar hasil, Felda akan potong apa yang patut dipotong, dan (laksana) amalan pertanian yang baik, MSPO akan terjaga,” tambahnya lagi. – 21 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen