Kes aktif Covid-19 terus bertambah, jumlah korban turun, kata KP Kesihatan


Ravin Palanisamy

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 12,366 jangkitan baharu dikesan berbanding 7,567 kes yang sudah sembuh. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 20 Julai, 2021.

KES aktif Covid-19 naik kepada 133,703 setelah hari ini negara melaporkan lebih banyak jangkitan baharu berbanding kes sembuh, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, hari ini juga 93 kematian dicatatkan.

Beliau berkata, setakat tengah hari ini, Malaysia mencatatkan 12,366 jangkitan baharu berbanding 7,567 kes yang sudah sembuh.

Hari ini hari ke-25 negara mencatat lebih banyak kes baharu berbanding jangkitan yang sudah sembuh.

Tambah Dr Noor Hisham, 99.3% kes baharu dilaporkan hari ini berada antara Kategori 1 dan 3, sementara hanya 0.7% kes adalah gabungan Kategori 4 dan 5.

Noor Hisham berkata, 7,327 kes berada dalam Kategori 1 (tiada gejala), 4,861 kes dalam Kategori 2 (gejala ringan), 93 kes dalam Kategori 3 (radang paru-paru), 33 kes dalam Kategori 4 (radang paru-paru dan memerlukan oksigen) dan 52 kes dalam Kategori 5 (kritikal dan perlukan bantuan pernafasan melalui ventilasi).

Beliau berkata, jumlah pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat kepada 924 orang manakala mereka yang perlukan alat bantuan pernafasan juga meningkat kepada 448.

Sementara itu, buat pertama kalinya selepas lapan hari, Malaysia melaporkan kematian dua angka iaitu sebanyak 93 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan korban akibat Covid-19 kepada 7,241 orang.

Kali terakhir korban harian dua angka dicatatkan adalah pada 11 Julai dengan 91 kematian.

Daripada jumlah korban sebanyak 93 hari ini, dua melibatkan warga asing, selebihnya warga negara.

31 kematian dilaporkan di Selangor, sementara Johor melaporkan 16 kematian, menjadikannya hanya dua negeri melaporkan kematian dua angka.

Negeri lain yang melaporkan kematian ialah Melaka dengan sembilan kematian, Kedah (8), Pahang (tujuh), Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Perak (masing-masing lima), Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak (masing-masing dua) dan Terengganu (satu).

Sebanyak 10 kematian maut sebelum sampai di hospital, di mana lima kes di Kedah, tiga di Melaka, dan masing-masing satu di Selangor dan Sabah.

81 mangsa korban hari ini mempunyai sejarah masalah kesihatan. – 20 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen