KDN minta ketua polis Pulau Pinang jelaskan isu solat Aidiladha langgar SOP


Video 22 saat yang tular pagi ini menunjukkan lebih 200 warga asing dan tempatan di luar surau di Juru Pulau Pinang bagi menunaikan solat sunat Aidiladha. – Gambar tangkap layar video, 20 Julai, 2021.

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) telah meminta polis Pulau Pinang beri laporan terperinci tentang kejadian lebih 200 warga asing langgar prosedur operasi standard (SOP) dengan menunaikan solat Aidiladha di luar sebuah surau di Taman Pelangi, Juru, Pulau Pinang hari ini.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berkata, Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain telah diminta menjelaskan bagaimana pelanggaran SOP boleh berlaku sedangkan negara tengah memerangi pademik Covid-19.

Video 22 saat yang tular itu menunjukkan lebih 200 warga asing berkumpul di luar surau untuk solat sunat Aidiladha pagi ini.

“Ketua Polis Pulau Pinang diminta untuk memberikan laporan serta penjelasan terperinci dengan segera berhubung penugasan anggota PDRM yang dipertanggungjawabkan untuk memantau pematuhan SOP di lapangan, terutama semasa perayaan Hari Raya Aidiladha,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Hamzah turut berkata KDN akan ambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang didapati terlibat menganjurkan majlis solat sunat itu.

“(KDN) mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tidak teragak-agak mengambil tindakan pengusiran di bawah Akta Imigresen 1958/63 sekiranya ia membabitkan warga asing,” katanya.

Sebelum itu, Mohd Shuhaily telah memohon maaf kepada penduduk Pulau Pinang kerana tidak menghalang kejadian itu.

“Polis mohon maaf atas kegagalan mengesan perkara ini dengan lebih awal,” katanya dalam sidang media di Bukit Mertajam hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata polis sedang mengesan semua jemaah terlibat yang dipercayai warga asing dan penduduk di kawasan berkenaan bagi membantu siasatan berhubung kejadian yang tular itu.

Tambah Mohd Shuhaily siasatan mendapati kejadian solat beramai-ramai di luar surau itu adalah tindakan spontan, selain mendakwa pihak surau tidak melanggar undang-undang selain patuh SOP.

“Berdasarkan siasatan awal, pihak surau memaklumkan surau tersebut dibenarkan untuk mengadakan solat Jumaat dan solat sunat Aidiladha dengan kapasiti maksimum seramai 100 orang sahaja namun pagi tadi ia menerima limpahan kehadiran orang ramai yang mahu menunaikan solat itu melebihi jumlah yang dibenarkan untuk SOP solat sunat tersebut.

“Ekoran itu pengurusan surau telah mengarahkan mereka yang lain pulang dan menutup pintu pagar surau selepas kapasiti 100 jemaah telah cukup bagi mengelak lebih ramai yang masuk untuk menunaikan solat (sunat Aidiladha) dengan lebih 200 orang dipercayai kebanyakan warga asing bertindak solat di kawasan terbuka dan tepi jalan surau tersebut,” katanya.

Setakat hari ini, Pulau Pinang melaporkan 460 jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah terkumpul negeri itu 39,756 sejak pandemik bermula. – 20 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen