Kecewa tindakan Putrajaya, doktor kontrak hantar notis berhenti 24 jam


Raevathi Supramaniam

Hartal Doktor Kontrak dalam ciapan terbaru di Twitter berkongsi tangkap layar beberapa doctor kontrak yang memutuskan untuk berhenti ketika negara terus bergelut dengan peningkatan jumlah kes Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai 2021.

DOKTOR kontrak menghantar notis berhenti kerja 24 jam kerana letih dan kecewa dengan tindakan tidak ambil peduli Putrajaya dalam memenuhi tuntutan mereka, kata kumpulan Hartal Doktor Kontrak.

Kumpulan berkenaan dalam ciapan terbaru di Twitter berkongsi tangkap layar beberapa doktor kontrak yang memutuskan untuk berhenti ketika negara terus bergelut dengan peningkatan jumlah kes Covid-19.

“Doktor undurkan diri dengan notis 24 jam. Cukup letih dan tidak tahan lagi,” kumpulan itu menulis tweet, bersama dengan tangkap layar yang menunjukkan doktor kanan mengabaikan barisan doktor muda yang memutuskan untuk berhenti.

Kumpulan berkenaan sebelum ini, memberi amaran bahawa mereka akan melancarkan mogok sekiranya Putrajaya tidak menyelesaikan masalah pegawai perubatan kontrak (MO) yang tidak ditawarkan jawatan tetap perkhidmatan awam dalam tempoh tiga minggu.

Mogok itu dijangka berlanjutan pada 26 Julai depan dan kerajaan diberi masa hingga saat tersebut untuk mencari jalan keluar.

Data Kementerian Kesihatan mendedahkan sejumlah 23,077 pegawai perubatan kontrak UD41 terpilih untuk menjalani latihan siswazah dan perkhidmatan wajib antara Disember 2016 dan 31 Mei 2021.

Namun, hanya 789 daripada mereka ditawarkan jawatan tetap manakala selebihnya masih berstatus kontrak. Kebanyakan mereka sudah memohon pekerjaan di luar negara.

Kumpulan itu menambah layanan Putrajaya ke atas doktor kontrak umpama “pakai buang” yang menyebabkan sektor penjagaan kesihatan negara kini lumpuh.

“Kami kesuntukan masa. Doktor akan pergi. Tetapi mereka diam dan menutup semuanya,” tulis kumpulan itu bersama surat perletakan jawatan doktor yang bertugas di jabatan kecemasan dan trauma Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Tidak dapat dipastikan berapa ramai doktor kontrak yang mengundurkan diri selepas memberi notis 24 jam. – 20 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen