PENGENDALI gim berusia 33 tahun direman selama dua hari kerana didakwa menakut-nakutkan lelaki lain dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dengan gagal memakai pelitup muka dalam kejadian yang dirakam dan disiarkan di media sosial.
Ketua Polis Daerah Brickfields Anuar Omar memberitahu The Malaysian Insight, lelaki itu ditangkap kira-kira jam 8 malam semalam di sebuah rumah di Taman Desa, Kuala Lumpur.
Terdahulu, satu rakaman video pendek yang dimuat naik ke media sosial memaparkan tindakan lelaki berkenaan menggunakan bahasa kasar terhadap seorang lelaki lain di sebuah gerai nasi lemak pagi semalam.
Pengendali gim melahirkan kemarahan kepada pelanggan lain kerana menyuruhnya memakai pelitup muka sewaktu berada di tempat awam.
Pemilik gerai nasi lemak tersebut bersama anak perempuannya bagaimanapun terpaksa masuk campur bagi menghalang suspek daripada mencederakan pelanggan lain.
“Berikutan video viral itu, kami menahan suspek dan dia direman selama dua hari hingga 21 Julai.
“Dia direman di bawah Seksyen 117 yang membenarkan penahanan selama lebih dari 24 jam dan juga di bawah Seksyen 506 kerana melakukan ugutan jenayah dan di bawah pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit kerana melanggar SOP Covid-19,” kata Anuar.
Lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau, tambah Anuar.
Lelaki itu muncul dalam klip video lain di media sosial di mana dia dilihat melemparkan kata-kata tidak senonoh terhadap dua wanita di sebuah gim, salah satunya merakam video tersebut.
Bagaimanapun, lokasi gimnasium, tarikh video, dan alasan pertengkarannya tidak diketahui. – 20 Julai, 2021.
Berita penuh di sini
Komen