Singapura larang semula makan di tempat


Keputusan melarang makan di tempat terpaksa dibuat susulan kluster jangkitan Covid-19 di pusat hiburan karaoke dan Pelabuhan Perikanan Jurong yang terus meningkat, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong. – Gambar EPA, 20 Julai 2021.

SINGAPURA melarang semula makan di tempat dan perhimpunan melebihi dua orang berkuat kuasa lusa sehingga 18 Ogos ini, ketika kes jangkitan Covid-19 tempatan melonjak sejak beberapa hari lepas, lapor Berita Harian di republik itu.

Makan di tempat termasuk di pusat penjaja dibenarkan sejak 21 Jun lalu untuk dua orang semeja, biarpun perancangan asalnya sebelum itu kelonggaran untuk lima orang semeja.

“Kita tahu berita ini sangat mengecewakan banyak pihak terutama sektor perniagaan seperti makanan dan minuman.

“Sektor ini sangat terjejas susulan sekatan sebelum ini dan mereka sudah berusaha keras untuk menyesuaikan diri dengan peraturan yang berubah,” kata pengerusi bersama pasukan bertindak menangani Covid-19 Gan Kim Yong, seperti dipetik Channel News Asia.

Semua tempat makan kini hanya boleh menjual untuk bawa pulang dan penghantaran, kata laporan.

Gan yang juga menteri perdagangan dan perusahaan menjelaskan keputusan itu terpaksa dibuat susulan kluster jangkitan Covid-19 di pusat hiburan karaoke dan Pelabuhan Perikanan Jurong yang terus meningkat.

Peraturan baharu Fasa 2 ini juga menghadkan ziarah tetamu ke rumah kepada dua orang sehari.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata pihaknya berharap kes jangkitan baharu akan dapat dikekalkan dalam lingkungan 40 hingga 60 kes sehari, namun jangkaan itu mustahil sekarang.

“Pada kadar jangkitan sekarang, ada kemungkinan kes akan naik mendadak dan banyak orang dalam komuniti akan terkena jangkitan.

“Dengan hampir 50 peratus penduduk sudah selesai disuntik dengan vaksin, masuk ada kumpulan rentan seperti warga emas yang belum divaksin,” katanya.

Beliau menambah Singapura akan selesai memberi vaksin kepada dua pertiga daripada penduduknya dalam masa masa “beberapa minggu lagi.” – 20 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen