Adelaide di Australia kuatkuasa sekatan pergerakan penuh


Selepas Sydney dan Melbourne, sebuah lagi bandar utama di Australia, Adelaide mengumumkan penguatkuasaan sekatan pergerakan penuh bagi mengekang gelombang baharu Covid-19. – Gambar AFP, 20 Julai, 2021.

ADELAIDE pada Selasa akan menjadi bandar terbaru di Australia yang menguatkuasa sekatan pergerakan penuh, ketika negara dengan majoriti penduduknya belum divaksin itu bergelut mengekang gelombang terkini jangkitan Covid-19.

Negeri Selatan Australia dengan Adelaide sebagai ibu kotanya, berkata ia akan menyertai Sydney dan Melbourne yang mengenakan sekatan pergerakan selepas lima kes jangkitan tempatan dikesan.

Keputusan itu bermakna lebih 14 juta warga Australia kini dikenakan perintah duduk di rumah.

“Bermula jam 6 petang hari ini, Selatan Australia memasuki sekatan pergerakan,” kata Ketua Menteri Steven Marshall dari Adelaide dengan gambaran langkah itu akan dikuatkuasa selama sekurang-kurangnya tujuh hari.

“Kami tak suka letak sekatan ini, tetapi kami percaya yang kita hanya ada satu peluang sahaja untuk buat perkara betul.”

Hanya 11% daripada 25 juta penduduk Australia sudah divaksin. Tetapi sehingga kini, jangkitan tempatan masih dapat dikawal.

Sejak beberapa bulan lepas, pihak berkuasa bergelut mengekang penularan pantas disebabkan varian Delta, yang bermula selepas jangkitan berlaku antara krew penerbangan dan pemandu di Sydney.

Virus itu kemudiannya merentas sempadan negeri, mencetuskan sekitar 100 kes baharu setiap hari di seluruh negara itu.

Sekatan pergerakan di Sydney yang kini memasuki minggu keempat berjaya memperlahankan penularan tetapi masih gagal menghapuskan sepenuhnya jangkitan.

Sydney kini melaporkan 1,418 kes, dengan 78 kes baharu dilaporkan pada Selasa.

Penduduk hanya dibenarkan keluar rumah untuk bersenam, membeli makanan atau beberapa sebab lain yang jelas dinyatakan dalam peraturan.

Pada masa sama, pihak berkuasa di Melbourne pada Selasa berkata sekatan pergerakan mengejut selama lima hari yang sepatutnya berakhir dilanjutkan lagi selama tujuh hari.

Di Queensland, pihak berkuasa dalam keadaan berjaga-jaga selepas seorang wanita yang melawat beberapa kawasan pelancongan terkenal disahkan positif virus itu. – AFP, 20 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen