424,936 dos vaksin disuntik semalam


Ravin Palanisamy

Putrajaya menetapkan sasaran semua orang dewasa Malaysia divaksin menjelang Oktober. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2021.

SEBANYAK 424,936 dos vaksin disuntik di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) semalam, sekali lagi melepasi sasaran harian 400,000 dos, kata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), hari ini.

Jumlah vaksinasi harian kekal di atas 400,000 pada 12 hingga 16 Julai, malah memecah rekod sebanyak 460,158 pada 15 Julai, sebelum berkurangan kepada 380,440 pada 17 Julai dan 344,961 pada 18 Julai lalu.

Sejumlah 282,106 individu menerima dos pertama mereka, manakala 142,830 menerima dos kedua vaksin mereka semalam.

Jumlah keseluruhan vaksin Covid-19 yang disuntik di bawah PICK kini adalah 14.72 juta.

Daripada jumlah itu, 10.09 juta atau 30.9% orang dewasa Malaysia sudah menerima satu dos vaksin, manakala baki 4.67 juta atau 14.3% lagi sudah lengkap dua dos vaksin.

Labuan mempunyai kadar vaksinasi tertinggi dengan 87.4% populasinya sudah menerima satu dos dan 64.6% sudah menerima dua dos vaksin.

Sementara itu, Lembah Klang- yang meliputi Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya- 5.92 juta penduduk sudah divaksin, menjadikannya kawasan penerima vaksin tertinggi di Malaysia.

Daripada jumlah itu, 4.01 juta atau 47.6% menerima dos pertama manakala 1.27 juta atau 15.2% lagi menerima dua dos lengkap vaksinasi.

Putrajaya berhasrat menyuntik vaksin kepada semua warga emas di Lembah Klang dengan sekurang-sekurangnya satu dos dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata semua orang dewasa di Malaysia akan divaksin menjelang Oktober, meletakkannya sebagai sasaran baru ditetapkan kerajaan bagi mengekang lonjakan mendadak kes Covid-19 yang berlaku kini.

Menurutnya, pendekatan gerak pantas dalam PICK termasuklah meningkatkan kapasiti vaksinasi kepada 500,000 dos sehari bertujuan mengekang penularan varian baharu Covid-19 yang lebih merbahaya. – 20 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen