Pemimpin kufur nikmat, rakyat tanggung kesusahan


Mohd Syazreen Abdullah

KETIKA dalam krisis inilah rakyat di bawah memerhatikan lagak kepimpinan di atas.

Mungkin Tuhan mahu bongkarkan kepada kita wajah sebenar kepimpinan Melayu Islam gagal. Kepimpinan gagal tidak punya empati, jahat, bodoh dan sombong. Syed Hussein Alatas gelarkan sikap begini sebagai jadong.

Kerajaan jadong inilah paling banyak Kabinet tetapi gagal berfungsi. Malah gagal tunjukkan teladan baik pada saat pandemik hari ini.

Kes Covid-19 semakin naik menggila. Rakyat sudah terkorban. Kes kematian semakin bertambah tidak mengenal usia. Tetapi pemimpin kerajaan Melayu Islam hari ini sedikit pun seolah tiada rasa belas kasih.

Ada pemimpin boleh gelak dan memperlekehkan bantuan kecemasan rakyat. Bahkan pejuang barisan hadapan yang sudah lumpuh dianggap sekadar lakonan lagak ngeri. Belum lagi kes pemimpin yang korup dalam segala sudut, rasuah dan pelbagai penistaan terhadap agama demi kelangsungan kekuasaan.

Adakah ini jenis kepimpinan Melayu Islam yang buruk tingkah lakunya mahu dibanggakan dalam kerajaan?

Kalau pemimpin pun sudah hilang rasa empati terhadap kesusahan rakyat, apakah lagi rakyat harapkan?

Jangan jadi manusia yang hilang rasa kemanusiaan sehingga angkuh terhadap kesusahan rakyat!

Kepimpinan baik sentiasa menyebelahi rakyat. Bukan sindir, ketawa, perli dan hina. Tidak bongkak. Ironi, menjadi pemimpin patut semakin dekat dengan Tuhan.

Akhirnya semua bala sikap fasad yang melampaui batas ini akan memusnahkan kehidupan masyarakat, sosial, ekonomi dan politik. Buktinya rakyat sedang tanggung kesusahan hidup akibat kefasadan pemimpin hari ini.

Ujian nikmat keduniaan

Sejarah membuktikan sesuatu bangsa itu boleh hancur kerana kefasadan dan sikap melampaui batas pemimpinnya di atas dunia ini. Lihat sejarah keruntuhan bangsa terdahulu daripada kaum Ad, Tsamud dan Firaun. Ini semua kaum yang runtuh akibat sikap bongkak pemimpin sebagaimana digambarkan pada surah al-Fajr.

Dalam Al-Quran, diceritakan sebab keruntuhan ketiga-tiga kaum ini. Kesemuanya berpunca daripada sikap manusia yang sombong lagi angkuh sehingga melampaui batas.

Sikap sombong dan angkuh itu ditunjukkan kaum ‘Ad, Tsamud dan Firaun sebagaimana dipilih kata اْوَغَط iaitu merupakan dari bentuk jamak daripada طغى. 

Dalam Lisanul Arab, Ibnu Manzhur menyebutkan kata طغى bererti melampaui batas, keterlaluan dalam kemaksiatan sekali gus melakukan kezaliman yang melampaui batas.

Maka yang bermaksud “orang yang bermaharajalela di negeri” pada ayat 11 dalam surah al-Fajr itu merujuk kepada ketiga-tiga kaum di atas semuanya itu yang bersikap melampaui batas.

Demikian kata طَغَوۡاْ dalam ayat 11 itu ditujukan kepada kaum dan khusus kepada pemimpin mereka yang sombong dan angkuh serta melampaui batas.

Justeru sikap mereka ini digambarkan seolah-olah lalai terhadap nikmat pemberian Tuhan. Lalu menyebabkan mereka menjadi sombong dan angkuh. Akhirnya merasakan diri lebih tinggi, mulia, berkuasa dengan apa yang mereka miliki daripada pemberian nikmat Tuhan.

Demikian ujian kesombongan yang mengiringi kemaksiatan mereka baik pada pemimpin mahupun rakyatnya sehingga Tuhan turunkan azab kepada kaum mereka. Kisah tersebut merupakan latar belakang di sebalik pengajaran Tuhan yang mahu disampaikan dalam surah al-Fajr dari ayat 15-20.

Sikap manusia yang melampau batas ini disebutkan Tuhan sebagai peringatan khususnya konteks kepimpinan hari ini supaya jangan lalai dan bongkak dengan kenikmatan diberikan-Nya sehingga terjadi kehancuran sebagaimana terjadinya kepada bangsa terdahulu.

Ulama Nusantara, Prof Hamka dalam tafsirnya al-Azhar mengupas ayat 15-16 menjelaskan bahawa manusia menjadi alpa, bongkak dan sombong kerana mereka sangkakan nikmat yang mereka miliki itu adalah anugerah Tuhan kepadanya semata-mata.

Antara nikmat diperolehinya itu sehingga dia tidak pernah merasa sakit, miskin, lapar dan susah walaupun pada saat cabaran pandemik berbanding rakyat yang hidup menderita dan mati kerana Covid-19. Sebaliknya Tuhan mencurahkan lagi limpah segala nikmat dunia ini kepadanya.

Sebenarnya nikmat yang dikecapi khususnya pemimpin hari ini seperti nikmat kekayaan, kesihatan, jawatan tinggi, kekuasaan, dan kedudukan tinggi itu adalah sebuah bentuk ujian daripada Tuhan. Bahkan Tuhan menguji hamba-Nya dalam setiap keadaan dia diberikan segala kenikmatan tersebut.

Kufur nikmat

Justeru, jangan disangka itu nikmat lalu mendabik dada Tuhan muliakan sehingga dia boleh melakukan apa saja atau bermaharajalela di atas bumi ini sehingga melampaui batas. Walhal dia masih menyebut nama Tuhan, tetapi bukan daripada rasa iman.

Kalau Allah berikan pangkat kekayaan berlimpah-ruah, tetapi tiada iman; maka kekayaan itu akan membawa kepada kesengsaraan rohani. Harta yang melimpah itu akan jadi alat menimbun dosa.

Maka disebutkan pada ayat ke-17 bahawa “penyakit” jiwa manusia itu bila mana tiadanya iman. Yang mereka pentingkan hanya diri sendiri. Akhirnya dia tidak mempunyai rasa belas-kasihan.

Misalnya kalau datang orang susah minta pertolongan kepadanya, orang itu akan diusirnya, kerana merasa sombong dengan keistimewaan Tuhan beri kepadanya. Sebaliknya ujian itu adalah bentuk teguran Tuhan dalam melihat hamba-Nya tidak beriman akibat perbuatan angkuh tersebut.

Sebenarnya Tuhan mahu lihat sama ada hamba-Nya itu bersyukur atau kufur.

Bagi orang beriman, nikmat itu adalah satu ujian dari Tuhan kepadanya. Lalu dia menjawab ini adalah tidak lebih mulia daripada pemberian Tuhan untuk menjadi hamba yang bersyukur.

Misalnya menjadi pemimpin yang sentiasa mensyukuri setiap kurniaan Tuhan dan amanah pada tanggungjawabnya. Maka perbuatan syukur itu harus dizahirkan dengan membantu orang susah, memuliakan anak yatim, menguruskan dengan baik harta warisan atau, dalam konteks kepimpinan, harta negara dan membantu orang yang ditindas atau lemah.

Sebaliknya, bukan menjadi pemimpin yang kufur ke atas nikmat seperti sombong, memperlekeh, angkuh, perli dan ketawakan kepada orang dalam kesusahan. Apatah lagi bersikap zalim.

Kepimpinan beriman

Prof Hamka dalam tafsirnya pada ayat 19-20 menjelaskan tentang peringatan kepada manusia khususnya pemimpin –sebanyak mana pun kekayaan, harta yang diwariskan dan pangkat kekuasaan kamu di atas dunia ini, bahkan sebanyak mana pun kenikmatan yang Allah kurniakan itu, sekiranya kamu tidak muliakan anak yatim, mengajarkan umat untuk memberi makan kepada orang miskin, menguruskan harta negara dengan baik dan membantu orang susah, maka semua itu tiada erti kemuliaan langsung di sisi Tuhan.

Bahkan sikap mencintai dunia yang melampau sehingga bongkak terhadap nikmat pemberian Tuhan ini telah mencampakkan kamu ke lembah kebinasaan sekali gus merupakan tabiat orang tidak beriman yang ditegur Tuhan.

Sikap orang beriman yang mencintai dunia sebenarnya tidak akan sesekali membutakan mata hatinya terhadap ketamakan haloba harta duniawi. Dia tahu halal dan haram, tidak menipu, rasuah dan menjual bangsa dan agama demi kepentingan nafsu. Boleh jadi Tuhan beri ujian keruntuhan hari ini dengan tidak hilangnya wabak penyakit, keruntuhan ekonomi, dan kelumpuhan sosial.

Hal ini tidak mustahil kerana musibah itu boleh jadi kerana mempunyai kepimpinan yang gagal, sombong dan angkuh. Mereka adalah pemimpin yang telah Tuhan berikan segala kenikmatan, malangnya nikmat itu dikufuri.

Inilah musibahnya kalau pemimpin dilihat tidak punya iman! – 20 Julai, 2021.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen